PBTSELANGOR

Bas Smart Selangor pinda laluan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 21 FEB: Laluan Bas Smart Selangor di Puncak Alam dan Saujana Utama mendapat kelulusan pindaan terus ke MRT Sungai Buloh, baru-baru ini bagi kemudahan penduduk sekitar.

Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Mohd Fakaruddin Ismail berkata, pindaan itu disifatkan berita baik seiring permintaan penduduk sebelum ini.

“Kita berharap peningkatan jumlah penumpang selepas pindaannya terus ke MRT Sungai Buloh diluluskan bagi membolehkan penambahan bas.

“Kita juga berharap ia dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan Saujana Utama ketika waktu kemuncak,” katanya dipetik Sinar Harian.

Fakaruddin berkata, bas percuma yang memulakan perkhidmatannya, di kawasan itu sejak Ogos lalu merekodkan 4,000 penumpang.

Katanya, keadaan bas yang mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) dan mempunyai kemudahan wifi mendorong kepada peningkatan jumlah penumpang.

“Saya berharap penduduk setempat dapat menggunakan kemudahan disediakan Kerajaan Negeri dengan sebaiknya serta menjaga keadaan bas untuk manfaat jangka masa panjang,” katanya.


Pengarang :