BERITA UTAMASELANGOR

Belanjawan 1% berbanding Putrajaya tapi manfaat menyeluruh

OLEH NAZLI IBRAHIM

HULU KELANG, 10 FEB: Walaupun belanjawan Selangor hanya berjumlah RM3.2 bilion atau satu peratus berbanding peringkat persekutuan yang mencecah RM300 bilion, namun ia memberi manfaat yang sangat besar kepada rakyat negeri itu.

Dato’Menteri Besar, Dato’Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu berikutan kecekapan Kerajaan Negeri menguruskan kewangan dan kekayaan Selangor dengan intergiriti yang tinggi bagi memastikan hasil negeri itu dapat dikembalikan kepada rakyat.

“Belanjawan Selangor ini taklah besar sangat. Tahun ini RM3.2 bilion untuk kita belanjakan jika dibandingkan dengan negeri lain yang masih besar tetapi dengan Putrajaya hanya satu peratus sahaja.

“Belanjawan Putrajaya RM300 bilion tetapi saya bersyukur walaupun belanjawan kita cuma satu peratus daripada belanjawan persekutuan, namun terlalu banyak program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang sudah dan akan kita jalankan selain akan mengangkat umat serta rakyat keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Asnaf dan Solat Asar di Surau Al-Islah AU2, di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, antara skim yang diperkenalkan di bawah program IPR termasuk skim Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang dilancarkan, pada 22 Januari lalu.

Katanya, keadaan terbabit menyebabkan Selangor pada hari ini menjadi tumpuan penduduk di luar negeri itu yang turut ingin merasai nikmat sebagai rakyat Selangor.

Beliau berkaya, kejayaan itu diperolehi melalui usaha keras semua pihak termasuk rakyat dan anggota penjawat awam Selangor yang profesional serta berintergriti.


Pengarang :