BERITA UTAMASELANGOR

Bingkai muafakat, aset keharmonian Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUCHONG, 4 FEB : Penyatuan kaum yang diterapkan seluruh rakyat di negeri ini berjaya mengukuhkan keharmonian dan perpaduan di Selangor, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, prinsip itu juga menjadi aset terpenting kepada permuafakatan dan kestabilan semua lapisan kaum di Selangor.

“Walaupun kita hidup dalam persekitaran kepelbagaian kaum dan agama, namun kita berani nyatakan bahawa inilah yang menjadi aset kepada pengukuhan keharmonian Selangor.

“Rakyat yang bersatu hati dan bekerja kuat pastinya akan dilimpahi dengan rezeki kemajuan ekonomi negeri dari Tuhan.

“Buktinya, walaupun kita diserang oleh pihak tertentu dan ada media yang memutar belit kenyataan pimpinan Selangor, namun negeri kita ini muncul sebagai negeri paling maju dan kaya dalam Malaysia,” katanya.

Justeru katanya, prinsip keamanan itu perlu dikekalkan selaras hasrat Kerajaan Negeri untuk mengangkat agenda kebajikan rakyat seluruh negeri.

“Kalau inilah semangat yang ditekankan seluruh rakyat, saya percaya negara ini juga boleh lebih maju dan gagah serta mampu memberikan kemakmuran kepada semua rakyat Malaysia yang bermaruah di dalam negara ini,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ponggal Peringkat Negeri Selangor di Tapak Parkir Dewan Serbaguna Batu 14, Puchong malam tadi.

Majlis berkenaan turut menyaksikan lebih 5,000 warga Puchong pelbagai bangsa memeriah sambutan program Ponggal berkenaan.

Hadir sama, Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, Ganabatirau Veraman; Ahli Dewan Negeri Kinrara, Ng Sze Han; dan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh.

=EZY=


Pengarang :