SELANGOR

BN ‘beri muka’ kepada pemaju bina rumah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 FEB: Pemaju ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) boleh membina rumah harga bebas tanpa perlu membina rumah mampu milik atau rumah kos rendah terlebih dahulu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan rumah kos rendah di bawah pentadbiran BN tidak terbina, sehingga hari ini.

Katanya, hal itu sama sekali berbeza dengan Kerajaan Negeri hari ini yang sentiasa memantau pergerakan pemaju setelah mendapat kelulusan membina Rumah Selangorku.

“Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Pembangunan Rumah Selangorku sentiasa memantau pemaju yang mendapat kelulusan dan memberi peringatan serta notis apabila terdapat projek lewat.

“Malah, hanya apabila tiada tindakan dari pemaju, kelulusan akan dibatalkan dan mereka tidak boleh memulakan pembinaan rumah harga bebas, pada projek sama,” katanya dalam kenyataan.

Iskandar berkata, Kerajaan Negeri hari ini mewajibkan pemaju membina Rumah Selangorku terlebih dahulu atau serentak dengan rumah harga bebas.

Pada masa sama, katanya, tindakan BN mempolitikkan keputusan Kerajaan Negeri membatalkan sembilan projek Rumah Selangorku adalah usaha menutup kelemahan mereka.

“Pembatalan sembilan projek itu menunjukkan jawatankuasa bertanggungjawab melaksanakan tugas mereka.

“Pemaju yang dibatalkan kelulusan Rumah Selangorku perlu mendapatkan kelulusan semula dan memulakan pembinaan Rumah Selangorku sebelum boleh membina rumah harga bebas,” katanya.


Pengarang :