BERITA UTAMASELANGOR

BN gagal bina 19,351 rumah kos rendah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 FEB: Sejumlah 19,351 unit rumah kos rendah membabitkan 56 projek gagal dilaksanakan ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN), di Selangor sebelum 2008.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, mengikut rekod Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS), jumlah itu hanya diluluskan pada peringkat awal tetapi akhirnya tanah terbabit dijual kepada pemaju lain.

“Pembinaan rumah kos rendah itu diluluskan ketika zaman BN tetapi ditangguhkan dan lebih rumit apabila terdapat pemaju yang menjual tanah atau projek kepada pemaju lain.

“Kemudian, pemaju baru itu tidak membina rumah kos rendah atas alasan mereka tidak mengetahui terdapat syarat membinanya,” katanya dalam kenyataan.

Iskandar berkata, jika pemaju diberi amaran seperti pentadbiran hari ini, mereka tidak akan menangguhkan pembinaan rumah kos rendah sehingga bertahun lamanya.

Beliau turut menyifatkan Kerajaan BN sebelum ini takut untuk mengambil tindakan ke atas pemaju.

“Justeru, bukan Kerajaan Negeri hari ini yang gagal tetapi BN.

“Berbeza dengan Kerajaan Negeri selepas 2008, kita bersedia mengambil tindakan ke atas pemaju yang tidak serius membina Rumah Selangorku,” katanya.


Pengarang :