NASIONAL

Bomba: Percikan api dipercayai punca kebakaran bangunan KWSP

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 FEB: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) mengesahkan kebakaran Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hanya melibatkan bahagian luar yang dipasang lapisan pelindung mudah terbakar atau ‘cladding’.

Timbalan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Soiman Jahid berkata, kebakaran berpunca dari percikan api ketika kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan yang mengakibatkan keseluruhan lapisan luar bangunan terbakar.

“Disebabkan cuaca panas dan angin kuat api cepat merebak keseluruhan keliling bangunan. Berdasarkan semakan, tiada kebakaran dalaman berlaku kecuali di tingkat enam dan melibatkan fail-fail yang difahamkan tidak penting.

“Kerja-kerja pemadaman luar dan dalam dilakukan. Difahamkan tiada mangsa terperangkap dan 527 kakitangan berjaya keluar dengan selamat,” katanya.

Dalam sidang media beliau berkata ‘cladding’ yang digunakan di Bangunan KWSP adalah jenis Poly-Foam yang tidak sepatutnya digunakan di bangunan Kerajaan atau swasta kerana ia mudah terbakar.

Katanya, pemilik bangunan perlu mendapatkan nasihat penggunaan ‘cladding’ yang sesuai daripada pihak bomba bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku di masa hadapan.

“Kita akan melakukan pemeriksaan penguatkuasaan khususnya yang melibatkan sijil-sijil bomba. Bagi bangunan menggunakan bahan mudah terbakar, untuk pembaharuan sijil bomba, kita tidak akan keluarkan sijil pembaharuan sehingga mereka menukarkannya kepada bahan tidak mudah terbakar,” katanya.

Terdahulu, JPBM dalam laporan awal berkata, kebakaran yang berlaku itu melibatkan bangunan KWSP setinggi enam tingkat sekitar 40 peratus dan dipercayai berpunca daripada tingkat satu.

Sepasukan bomba dari Balai Bomba Penyelamat Seksyen 7 Petaling Jaya, Damansara, Pelabuhan Klang, Hang Tuah dan Pantai bergegas ke tempat kejadian untuk membantu proses pemadaman api dengan kekuatan 43 anggota termasuk pegawai yang selesai dalam tempoh setengah jam.

Kejadian itu dikongsikan orang awam menerusi satu video berdurasi sembilan saat yang dimuatnaik di laman sosial ketika melalui Lebuhraya Persekutuan.

=EZY=


Pengarang :