PBTSELANGOR

Bukan curi pasir, tapi dalamkan sungai

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA SELANGOR, 15 FEB: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menafikan wujud kegiatan curi pasir, di kawasan Sungai Kuala Selangor, Kampung Kuantan seperti didakwa.

Pengarah Jabatan Perancangannya, Yusli Iskandar berkata, sebaliknya kegiatan pendalaman sungai sedang dijalankan bagi memberi manfaat jangka panjang di kawasan itu.

“Dakwaan itu tidak benar. Keadaan sebenarnya ketika ini memang ada kerja mendalamkan sungai membabitkan beberapa kenderaan dan jentera besar.

“Malah, aktiviti mendalamkan sungai itu bukan berlaku di kawasan habitat kelip-kelip, ia sekitar enam kilometer jauhnya.

“Bagi pihak Majlis, kami menyangkal dakwaan berkenaan dan berharap masyarakat tidak panik,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau diminta mengulas laporan muka depan akhbar Kosmo! yang mendedahkan aktiviti curi pasir sedang dijalankan pihak tertentu menyebabkan habitat kelip-kelip di kawasan sungai Kuala Selangor, terancam.

Sebelumnya, pendedahan kononnya berlaku aktiviti itu didedahkan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dato’ Seri Dr Irmohizam Ibrahim dan Persatuan Pendayung Kelip-Kelip Kampung Kuantan.

Bagaimanapun, Yusli tidak menolak kemungkinan isu berkenaan sengaja diperbesarkan bagi memberi gambaran dan persepsi negatif terhadap masyarakat.

“Wujud unsur sabotaj atau tidak, itu bergantung kepada masyarakat untuk menilai sejauh mana dakwaan tidak benar itu dilaporkan,” katanya.

Kampung Kuantan sinonim sebagai tumpuan habitat kelip-kelip memandangkan faktor ekosistem dan aspek geografi Sungai Selangor yang sesuai sebagai habitat haiwan itu.


Pengarang :