GLOBALSUKANKINI

Coutinho robek gol lawan, Barca ke final

MADRID, 9 FEB: Philippe Coutinho menjaringkan gol pertamanya buat Barcelona bagi memastikan kemenangan 2-0 ke atas Valencia, sekali gus membawa kelab barunya mara ke satu lagi final Piala Raja Sepanyol, awal pagi tadi.

Coutinho memecah kebuntuan itu pada minit ke-49 ketika aksi separuh akhir kedua itu yang diadakan di Mestalla walaupun hanya diturunkan, pada awal separuh masa kedua.

Pemain Brazil itu berjaya buat pertama kali merobek gol lawan sejak perpindahan termahal bernilai 160 juta euro (RM776 juta) dari Liverpool, pada awal Januari, lapor Berita Harian.

Kejayaan Coutinho disusuli Ivan Rakitic yang menjaringkan gol kedua lapan minit sebelum tamat perlawanan membolehkan Barca selaku juara bertahan mara ke aksi final untuk musim kelima berturut-turut.

Barcelona selaku juara tiga kali berturut-turut bakal berdepan Sevilla pada perlawanan akhir yang akan diadakan, pada 21 April ini.

“Bagi saya ia bagaikan final pertama, jadi ia detik yang sungguh istimewa. Saya amat gembira.

“Saya memburu gol ini dalam beberapa perlawanan awal. Saya berjaya mendapatkannya hari ini dan membantu pasukan layak ke final,” kata Coutinho kepada stesen televisyen Sepanyol, Gol, lapor AFP.


Pengarang :