SUKANKINI

Cub Prix rakam tahniah Hafizh Syahrin ke MotoGP

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 22 FEB: Komuniti Kejuaraan Cub Prix merakamkan penghargaan atas kejayaan Hafizh Syahrin Abdullah selepas terpilih sebagai pelumba Monster Yamaha Tech 3 untuk kelas MotoGP 2018.

Kejayaan itu sekali gus memahat namanya selaku peluMba Malaysia dan Asia Tenggara pertama beraksi dalam kelas berkenaan, di pentas Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia.

“Seluruh komuniti Kejuaraan Cub Prix mengucapkan tahniah atas pencapaian sangat membanggakan ini, sekali gus membuktikan program pembangunan sukan permotoran negara berada di landasan tepat dan tidak ketandusan bakat yang mampu mengharumkan nama negara,” katanya dalam kenyataan.

Hafizh, 24, memulakan aksi profesional secara kompetitif seawal usia 13 tahun dalam perlumbaan satu pengeluar dijalankan Yamaha dan beliau terus membuktikan keupayaan luar biasa apabila mendominasi perlumbaan tempatan dan antarabangsa.

Bersama pasukan Raceline kendalian Barry Leong, Hafizh kemudian mencatat nama sebagai juara keseluruhan termuda bagi siri kelas Novis dan CP130 di Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS diikuti pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa seperti Kejuaraan Motosikal Asia, Australia, Sepanyol sebelum melangkah ke pentas MotoGP.

Katanya, pencapaian Hafizh selama 10 tahun sejak pembabitan secara profesional dalam arena permotoran negara sehingga hari ini adalah antara contoh tiada jalan pintas untuk berjaya.

“Proses membangunkan seseorang atlet memerlukan masa dan sokongan pelbagai pihak serta tidak boleh dicapai dalam sekelip mata dengan perjalanan karier Hafizh dibantu sokongan Program Pembangunan Bakat PETRONAS.

“Tidak lupa juga kepada Zulfahmi Khairuddin yang dipilih menggantikan Hafizh Syahrin dalam kelas Moto2 dan Khairul Idham Pawi serta Adam Norrodin (Moto3),” katanya.

Hafizh mewakili pasukan Monster Yamaha Tech 3 menggantikan pelumba Jerman, Jonas Folger yang terpaksa menarik diri ekoran masalah kesihatan.

Beliau menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam ujian pra musim MotoGP di litar Buriram, Thailand dengan catatan masa cuma 1.7 saat, di belakang pelumba Repsol Honda, Dani Pedrosa.

Hafizh akan bergandingan dengan bekas juara dunia Moto2 2016, Johann Zarco dalam pasukan itu.


Pengarang :