SELANGOR

Dato’ MB terima rawatan fisioterapi, Sultan maklum

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 25 FEB : Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sedang mendapatkan rawatan fisioterapi, selepas disahkan mengalami kecederaan tulang belakang.

Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar Selangor, Yin Shao Loong berkata, Mohamed Azmin mengalami kecederaan itu minggu lalu, ketika mengalihkan perabot di kediamannya, baru-baru ini.

“Menteri Besar kini sedang menjalani rawatan terapi tulang belakang (fisioterapi) dn perlu berehat secukupnya, sebelum boleh memulakan tugasnya.

“Beliau tidak sabar untuk segera pulih 100 peratus supaya boleh kembali bertugas.

“Orang ramai khususnya rakyat Selangor boleh mendoakan Menteri Besar supaya segera sembuh dan kembali bekerja untuk Negeri Selangor dan rakyatnya,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Teng Chang Khim turut memaklumkan, Mohamed Azmin akan bercuti atas saranan dan nasihat doktor.

“Atas nasihat tegas doktor, Dato’ Menteri Besar juga kini sedang menjalani rawatan di hospital termasuk fisioterapi untuk satu tempoh yang secukupnya.

“Kerajaan Negeri telah menyembah maklum perkara ini kepada DYMM Sultan Selangor.

“Mungkin ada hikmah untuk Dato’ Menteri Besar berehat secukupnya kerana beliau sememangnya seorang yang sangat bekerja kuat untuk rakyat Selangor,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina peringkat Selangor, di Dataran Petaling Jaya, semalam.

=EZY=


Pengarang :