BERITA UTAMANASIONAL

‘Desperadonya’ Umno!

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 18 FEB: Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersedia bertanding, di Langkawi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) meresahkan Umno-Barisan Nasional (BN).

Hal itu terbukti apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak secara drastik mengumumkan peruntukan RM1.315 bilion untuk lima projek baharu, di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), di Langkawi semalam.

Bagaimanapun, perkara itu mencuri perhatian Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang secara sinis mengatakan Najib dan Umno-BN ‘terdesak’ mempertahankan Langkawi.

“Baru ura-ura @chedetofficial nak bertanding di Langkawi, orang Langkawi dapat RM 1.3 bilion. Betapa desperadonya (terdesaknya) orang itu!

“Ada baiknya @chedetofficial membayangkan akan bertanding di beberapa tempat. Pastinya rakyat di situ akan mendapat nikmat pembangunan,” tulisnya di Twitter @AzminAli.

Sebelum ini, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengumumkan bersedia bertanding di Putrajaya, Langkawi atau Kubang Pasu.

Perkara itu menerima pelbagai reaksi pemimpin Umno-BN, antaranya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang mendakwa rakyat Langkawi rugi jika masih mahu memilih Dr Mahathir atas alasan mantan perdana menteri itu banyak berjasa.

Ia kerana katanya, memang tanggungjawab Dr Mahathir selaku pemimpin negara ketika itu untuk membangunkan Langkawi.

Terdahulu, Najib mengumumkan projek membabitkan pembinaan bangunan tambahan Hospital Langkawi bernilai RM500 juta, kuarters baharu petugas kesihatan (RM135 juta), balai bomba dan kuarters baharu di Padang Matsirat (RM30 juta), menaik taraf Jalan Bulatan Lapangan Terbang- Pulapol Langkawi (RM50 juta) dan projek mengatasi masalah bekalan air (RM600 juta).

 


Pengarang :