PBTSELANGOR

Dewan komuniti Bandar Utama penuhi keperluan penduduk

OLEH SABIRAH AZIZ

PETALING JAYA, 28 FEB: Sebanyak RM3.5 juta diperuntukkan bagi membina dewan komuniti setempat, di Lot 28809, Lebuh Bandar Utama, BU11, Bandar Utama, di sini.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, dewan berkeluasan 16,800 kaki persegi itu adalah projek di bawah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang dijangka siap, pada 27 Februari 2019.

Katanya, ia bertujuan melestarikan alam sekitar, mengaplikasikan kecekapan penjimatan tenaga dan memenuhi matlamat menyediakan persekitaran gaya hidup urban yang sihat juga berkualiti.

“Ia sekali gus bakal memudahkan masyarakat setempat menjalankan aktiviti serta menempatkan keperluan bersesuaian, termasuk ruang bersukan dan beribadah dengan reka bentuk seni bina kontemporari moden masa kini.

“Selain itu, ia dapat memenuhi keperluan penduduk di kawasan sekitar seperti BU 12, Kampung Kayu Ara, Kampung Cempaka dan kawasan berdekatan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pecah tanah projek cadangan membina dan menyiapkan dewan itu, baru-baru ini.

Majlis itu dirasmikan Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong.

Pada masa sama, Mohd Azizi berkata, bagi memenuhi matlamat ke arah pembangunan hijau, penggunaan sistem pengumpulan air hujan (SPAH), di dewan itu dapat membantu meminimumkan penggunaan air melalui pengairan dan sistem sanitari.

“Diharapkan, melalui pembinaan dewan ini dapat memenuhi keperluan sesuatu pembangunan, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk sekitar,” katanya.


Pengarang :