GLOBAL

Dipotong gaji, kakitangan PBB mogok di Geneva

GENEVA 27 FEB: Kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini mengadakan mogok apabila menghentikan kerja selama dua jam semalam disebabkan pemotongan gaji ‘tidak adil’ sehingga menjejaskan beberapa acara penting yang dihadiri setiausaha agung dan beberapa menteri kerajaan.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan mogok itu berlangsung dari jam 3 petang hingga jam 5 petang, sehingga memaksa badan hak asasi manusia tertinggi PBB menangguhkan sebuah panel yang menampilkan ketua hak asasi dan presiden Perhimpunan Agung selama sejam.

Selepas Setiausaha Agung Antonio Guterres memberi ucapan dalam Persidangan Pelucutan Senjata, jurubahasa meninggalkan bilik itu dan tetamu yang hadir memilih untuk bercakap dalam bahasa Inggeris sahaja daripada membatalkan mesyuarat terbabit.

Masih tidak jelas berapa ramai daripada kira-kira 9,500 kakitangan PBB di Geneva yang menghentikan kerja, namun ratusan orang berkumpul pada permulaan mogok berhampiran Majlis Hak Asasi Manusia PBB untuk menyuarakan perasaan tidak puas hati berhubung pemotongan gaji yang berkuatkuasa pada minggu lalu.

Ketua kesatuan kakitangan PBB di Geneva, Ian Richards berkata, kakitangan PBB Geneva menerima penyata gaji pertama mereka menunjukkan pemotongan gaji 3.5 peratus dan mengetahui pemotongan itu akan meningkat kepada lima peratus menjelang Jun ini.

SUMBER: AFP


Pengarang :