SELANGOR

DUN Paya Jaras santuni 550 penerima KISS

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 27 FEB : Rakyat Selangor terutamanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras menerima tuah apabila Kerajaan Negeri menyerahkan 550 kad Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), semalam.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, program itu mendapat sambutan hasil keprihatinan Dato’ Menteri Besar, Dato’Seri Mohamed Azmin Ali yang bertungkus-lumus menjaga kebajikan rakyatnya.

“Ini merupakan penyerahan fasa pertama selepas kami menerima sejumlah 2,300 permohonan daripada penduduk di kawasan sini.

“Saya akan bantu penduduk di Paya Jaras mengikuti semua program kebajikan rakyat seperti Peduli Sihat, Skim Kesihatan, Jom Shopping, Skim Usia Emas (SMUE) dan terbaru KISS,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Mohd Khairuddin berkata, penerima kelihatan gembira apabila menerima bantuan Kerajaan Negeri yang belum ada mana-mana negeri pun mampu melaksanakan skim sedemikian.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Mohamed Azmin dan barisan Exco yang bertungkus lumus membantu rakyat negeri ini,” katanya.

Mengulas berkenaan program Kerajaan Negeri jauh lebih realistik berbanding cakap kosong pimpinan Umno iaitu Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunus kononnya mahu memberi rumah percuma kepada golongan belia di Selangor jika Barisan Nasional (BN) menang Pilihanraya Umum (PRU14).

Mohd Khairuddin berkata, Umno sudah ketandusan idea sekali gus tidak dapat menyaingi prestasi di Selangor.

“Oleh sebab itu, Umno mula mencari isu bukan-bukan kononnya untuk menunjukkan mereka prihatin terhadap rakyat,” katanya.


Pengarang :