SUKANKINI

EPL: Arsenal bedil Everton 5-1

LIGA PERDANA INGGERIS 4 FEB: Hatrick Aaron Ramsey membantu Arsenal menundukkan Everton 5-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika mana Pierre-Emerick Aubame menjaringkan gol pada penampilan sulungnya.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan di Old Trafford, bekas pemain Gunners, Alexis Sanchez turut menjaringkan gol pertamanya bersama Manchester United yang meraih kemenangan 2-0 ke atas Huddersfield.

Tiba selaku pemain termahal kelab, Aubameyang kembali bergandingan dengan bekas rakan sepasukannya di Borussia Dortmund, Henrikh Mkhitaryan yang tiba dari United dalam perjanjian yang turut membabitkan Sanchez.

Ketika jentera serangan baharu Arsenal tampak tajam, tetapi Ramsey jelas lebih mencuri tumpuan apabila menjaringkan hatrik pertama dalam kariernya.

Satu lagi gol Arsenal dijaringkan Laurent Koscielny.

Selain kehadiran Aubameyang dan Mkhitaryan, Arsenal turut memperoleh khabar gembira apabila tonggak tengahnya, Mesut Ozil sah menandatangani kontrak baharu selama tiga tahun yang menyaksikan mereka meledak empat gol selepas 37 minit perlawanan bermula.

Tuan rumah hanya memerlukan enam minit untuk membuka tirai jaringan menerusi Ramsey sebelum Koscielny menggandakan kedudukan tujuh minit kemudian.

Ramsey kemudian menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-19 sebelum gandingan Mkhitaryan dan Aubameyang membuktikan keserasian mereka dengan meledak gol keempat tuan rumah pada minit ke-37.

Pemain gantian, Dominic Calvert-Lewin cuba menghidupkan peluang Everton dengan menjaringkan gol pada minit ke-64 tetapi perjuangan mereka berakhir selepas Ramsey meledak hatrik pada minit ke-74.

“Ia masih terlalu awal, tetapi mereka nampaknya mempunyai kualiti untuk menyerap corak permainan yang kami ingin gunakan,” kata pengurus Arsenal, Arsene Wenger mengenai pemain baharunya.

“Mereka pantas, mempunyai pergerakan yang tajam dan tangkas serta mereka tidak mahu kehilangan bola. Ia amat bagus dan petanda yang positif.”

SUMBER: AFP


Pengarang :