SUKANKINI

EPL: Chelsea gagal pintas Liverpool, tewas 4-1 kepada Watford

OLEH AFIX REDZUAN

LONDON, 6 FEB: Hasrat Chelsea untuk memintas Liverpool di tangga ketiga berkecai apabila tewas 4-1 kepada Watford dalam aksi tunggal Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.

Skuad bimbingan Antonio Conte turun dengan misi menebus kekecewaan tewas 0-3 kepada Bournmouth di laman sendiri minggu lalu tetapi semuanya serba tidak menjadi.

Kekecewaan bermula apabila The Blues terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas setengah jam perlawanan apabila Tiemoue Bakayoko mengutip dua kad kuning dalam tempoh lima minit dan diperintah keluar padang.

Kesempatan itu digunakan Watford untuk mencetak gol pertama menerusi sepakan penalti Troy Deeney selepas penjaga gol, Thibaut Courtois menjatuhkan Gerard Deulofeu pada minit ke-42.

Masuk minit ke-82, barulah Chelsea berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi rembatan cantik luar kotak penalti Eden Hazard.

Kegembiraan Chelsea tidak bertahan lama apabila Watford kembali menjaringkan tiga gol dalam tempoh enam minit.

Daryl Janmaat memulakan kebangkitan Watford dengan gol kedua pada minit ke-84 selepas melakukan gerakan 1-2 bersama Roberto Pereyra.

Deulofeu menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-88 apabila percubaannya terkena pemain lawan selepas menerima tolakan daripada Abdoulaye Doucoure.

Doucoure sekali lagi bertindak cemerlang membantu Pereyra menghasilkan gol keempat pada minit pertama masa tambahan bagi melengkapkan malam gemilang pasukan bimbingan Javi Gracia.

Chelsea kekal di tangga keempat dengan 50 mata, hanya dipisahkan satu mata dengan Liverpool di tangga ketiga sementara Watford kekal di tangga ke-11 dengan 30 mata.

FOTO KREDIT: Daily Mirror


Pengarang :