SUKANKINI

EPL: Gol Kane buat Spurs atasi Arsenal 1 – 0

OLEH HAFIZAN TAIB

LONDON 11 FEB: Tottenham Hotspur berjaya mengatasi cabaran Arsenal dengan kemenangan 1 – 0 hasil jaringan tunggal penyerang England, Harry Kane.

Dalam perlawanan ‘London Derby’ di Stadium Wembley itu, Spurs nyata bersedia mengekang asakan The Gunners selain menebus kekalahan (2 – 0) di gelanggang lawan, November tahun lalu.

Gol Kane pada minit ke-49 dihasilkan melalui hantaran Ben Davies disudahkan dengan satu tandukan tepat menerjah jaring melepasi jangkauan penjaga gol, Petr Cech.

Selepas gol itu, Spurs seharusnya mampu mengatasi lawan dengan beberapa gol tetapi kecekapan Cech menghampakan barisan hadapan skuad kendalian Mauricio Pochettino.

Kane yang menjaringkan gol ke-23 dalam perlawanan itu terlepas peluang menambah jaringan pada minit ke-51 dan 53 selain percubaan Dele Alli (m72) serta Kieran Trippier (m76).

Arsenal yang menurunkan gandingan baru di bahagian serangan dengan kehadiran Henrikh Mkhitaryan dan Pierre Emerick Aubameyang, mencabar pada awal permainan dengan serangan pada minit ke-13 namun Aubameyang berada pada kedudukan ‘offside’.

Hector Bellerin (m40) juga mendapat peluang baik bagi menjaringkan gol tetapi tersasar.

Kemasukan Alexandre Lacazette (m65) menggantikan Mkhitaryan menambah bisa jentera serangan Arsenal yang mengharapkan jaringan gol penyamaan.

Lacazette hampir melakukannya dalam masa tambahan namun sedikit sipi di kanan pintu gol Tottenham yang jelas mengecewakan pengurus Arsenal, Arsene Wenger.

Kemenangan di hadapan 83,202 penonton menyaksikan Tottenham naik ke tangga ketiga liga dengan kelebihan tujuh mata mengatasi Arsenal (keenam).

KEPUTUSAN LAIN:

WEST HAM 2 – 0 WATFORD

SWANSEA 1 – 0 BURNLEY

STOKE 0 – 0 BRIGHTON

EVERTON 3 – 1 – CRYSTAL PALACE.


Pengarang :