Kredit Foto: Telegraph.co.uk
GLOBALSUKANKINI

EPL: Manchester United benam Chelsea 2-1, kembali ke tangga kedua

OLEH AFIX REDZUAN

MANCHESTER, 26 FEB: Manchester United kembali melonjak ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris di hadapan Liverpool apabila bangkit membenam Chelsea 2-1 di Old Trafford, semalam.

Chelsea terlebih dahulu menggegar kubu tuan rumah menerusi tampanan Alvaro Morata yang singgah ke palang gol seawal minit keempat permainan.

Alexis Sanchez berpeluang membuka tirai jaringan pada minit ke-28 tetapi tolakan lemah beliau berjaya ditangkap Thibaut Courtois.

Kredit Foto: Telegraph.co.uk

Masuk minit ke-32, Willian akhirnya merobek gawang tuan rumah selepas berjaya melepasi pertahanan United apabila tenang menyambut lorongan Eden Hazard sebelum melepaskan rembatan rendah menewaskan David De Gea.

Kelebihan itu hanya bertahan selama tujuh minit apabila Romelu Lukaku berjaya menyamakan kedudukan apabila menerima umpanan Anthony Martial sebelum tenang menolak bola ke gawang Chelsea.

Masuk babak kedua, Lukaku sekali lagi hampir meletakkan United di hadapan pada minit ke-66 menerusi tampanan kaki kiri hasil hantaran Sanchez hingga memaksa Courtois menolak bola keluar.

Pemain gantian, Jesse Lingard, hanya memerlukan 11 minit untuk kembali menceriakan penyokong tuan rumah selepas dibawa masuk dengan gol kedua pada minit ke-75 selepas berjaya menanduk masuk hantaran Lukaku bagi kedudukan semasa 2-1.

Morata hampir menjadikan kedudukan 2-2 pada minit ke-85 tetapi jaringannya dibatalkan kerana berada dalam kedudukan offside.

United kini berkelebihan dua mata di hadapan Liverpool dengan 59 mata sementara Chelsea turun ke tangga kelima dengan 53 mata.


Pengarang :