SUKANKINI

EPL: Matt Ritchie ‘jampi’ Manchester United

OLEH AFIX REDZUAN

LONDON, 12 FEB: Jaringan tunggal Matt Ritchie sudah cukup untuk meleburkan ego Manchester United apabila tunduk 1-0 kepada Newcastle United semalam.

Walaupun pasukan pelawat menguasai 64 peratus permainan, Newcastle tenang mengekang asakan lawan yang melakukan 10 percubaan dengan lima daripadanya tepat ke gawang.

Tanpa jaringan pada babak pertama, Jose Mourinho yang membariskan Romelu Lukaku mengetuai jentera serangan buntu memecah benteng Newcastle.

Peluang terbaik Manchester memecah kebuntuan hadir pada minit ke-56 menerusi Alexis Sanchez tetapi pemain dari Chile itu gagal menolak masuk bola menerjah jaring meskipun penjaga gol, Martin Dubravka sudah tertewas.

Sebaliknya, Ritchie memanfaatkan umpanan Dwight Gayle dalam kotak penalti dengan rembatan rendah untuk gol tunggal perlawanan menewaskan David De Gea pada minit ke-66.

Keputusan itu menyaksikan Manchester United kekal di tangga kedua dengan 56 mata selepas 27 perlawanan.

=EZY=


Pengarang :