SUKANKINI

FAM mula siasat dakwaan atur perlawanan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 FEB: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan sudah memulakan siasatan dakwaan mengatur perlawanan yang dikaitkan dengan Melaka United dan Sarawak.

Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Dr Aseh Che Mat menegaskan pihaknya memandang serius dakwaan itu dan tidak akan berkompromi terhadap aktiviti yang mampu menjejaskan integriti bola sepak tempatan.

“Kami belum menerima laporan daripada dua pasukan terbabit tetapi mengambil maklum perkara ini.

“Jawatankuasa sudah diarahkan untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh menerusi beberapa sumber yang diperoleh,” katanya dipetik laporan Harian Metro.

Beliau berkata, pelbagai aspek akan diteliti secara serius dan masih terlalu awal untuk memberikan perkembangan, sama ada membabitkan pemain tempatan atau asing.

Terdahulu, kekalahan 1-4 Melaka United kepada Selangor dan 2-3 Sarawak kepada Felcra FC menyebabkan barisan pengurusan kedua pasukan mengesyaki pemain mereka terbabit dengan kegiatan mengatur perlawanan.


Pengarang :