SUKANKINI

FAM terima penganugerahan Persatuan Sukan Dinamik

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 27 FEB: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Persatuan Sukan Dinamik pada Majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2017 yang berlangsung Khamis ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Hamidin Mohd Amin berkata, pengiktirafan itu tepat pada masanya ketika FAM kini dalam proses transformasi menuju era baharu di bawah kepimpinan DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor selaku Presiden FAM baharu sejak hampir setahun lalu.

“Kami berterima kasih dan bersyukur di atas pemilihan FAM sebagai penerima Anugerah Persatuan Sukan Dinamik.

“Sudah tentu pengiktirafan ini menyuntik semangat kami dalam memperkemas struktur pentadbiran, meningkatkan prestasi pasukan kebangsaan, pendidikan kejurulatihan serta penganjuran pertandingan bagi memastikan FAM kekal dalam kelompok persatuan sukan terbaik di negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Presiden SAM, Ahmad Khawari Isa berkata, pemilihan FAM diputuskan berdasarkan kepada pengiktirafan pelbagai program pembangunan bakat muda diusahakan persatuan itu di landasan tepat.

“Pencapaian itu wajar diakui kerana ia peningkatan yang ketara setelah sekian lama bola sepak negara tidak berjaya untuk kerap beraksi di peringkat tinggi sebegitu,” katanya.

Kejayaan tiga pasukan muda negara melakar sejarah tahun lalu dengan melangkah ke pusingan akhir Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) membolehkan FAM dinobatkan sebagai penerima anugerah.

Tiga skuad muda negara yang berjaya menempatkan diri dalam kelompok elit benua itu ialah Skuad Bawah 23 Tahun, Bawah 19 Tahun dan Bawah 16 Tahun.


Pengarang :