KENYATAAN MEDIA

FELDA: Berdolak-dalik atau gimik politik?

Isu FELDA kini secara tidak langsung berkait rapat dengan Johor Bahru. Walaupun bandaraya ini tiada Felda, tetapi Ahli Parlimennya,Tan Sri Shahrir Abdul Samad telah lebih setahun menjawat jawatan pengerusi FELDA.

Ketika perlantikan dibuat, ramai melihatnya sebagai satu tindakan Datuk Seri Najib Razak untuk menyelamatkan FELDA.

Tanggapan ini adalah berdasarkan persepsi umum terhadap Ahli Parlimen tersebut sebagai seorang berprinsip, atau sekurang-kurangnya pernah dilihat mempunyai prinsip sebelum ini.

Tetapi selepas lebih setahun dilantik, pasti ramai yang tertanya-tanya apakah penambahbaikan yang dilaksanakan di FELDA sejak setahun yang lepas?

Pendedahan demi pendedahan yang dibuat mengenai FELDA, samada melalui SPRM (seperti Tan Sri Isa Samad dipanggil bagi beri keterangan) mahupun fakta-fakta yang dikongsikan oleh YB Rafizi Ramli, keadaan seperti lebih teruk daripada apa yang kita sangkakan.

Antara perkara yang menghairankan adalah bagaimana plot-plot tanah FELDA di Jalan Semarak boleh dipindah milik ke syarikat lain tanpa pengetahuan FELDA.

Dan lebih menghairankan lagi, bagaimana Pengerusi FELDA boleh mengumumkan tanah-tanah tersebut telah dikembalikan kepada FELDA dalam gimik sidang media sedangkan hak milik dalam geran tanah sehingga minggu lepas masih kekal diatas nama syarikat tesebut?

Walaubagaimanapun , saya tidak merasa hairan terutama apabila melihat respon Ahli Parlimen tersebut selepas kekecohan yang berlaku di Kg Bakar Batu, Johor Bahru pada Jumaat lepas.

Program Harapan Johor Bahru yang sepatutnya bercorak santai dan edar limau telah diganggu dengan ugutan dan gaya ala samseng.

Apa yang mengejutkan, beliau membela tindakan tidak bertamadun oleh kumpulan tersebut yang mengganggu program dan menggelirukan orang ramai tentang perlunya adab masuk kampung. Habis, cara jerit terpekik, terlolong itu beradab?

Malah, beliau turut menafikan bahawa UMNO atau Barisan Nasional merupakan dalang dalam provokasi yang dicetuskan.

Cuma, saya tidak pasti samada beliau sedar atau tidak bahawa Ketua Kampung yang mencetuskan kekecohan tersebut merupakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Johor Bahru yang mana beliau sendiri merupakan Ketua Bahagiannya?

Mengapa penafian beliau tidak menggambarkan keadaan sebenar? Ada dua kemungkinan:-

Pertama, beliau tidak tahu menahu latar belakang kejadian atau maklumat yang diberikan kepada beliau tidak tepat walaupun video-video yang direkodkan secara jelas menunjukkan individu yang dimaksudkan. Maka, jawapan yang diberikan adalah berbentuk dolak-dalik

Kedua, beliau tahu tetapi terpaksa menafikan demi kepentingan politik. Maka, tindakan dan penjelasan hanya bercirikan politik

Dan saya rasakan itulah yang terjadi di FELDA. Samada tidak tahu selok-belok permasalahan yang berlaku atau terpaksa melindungi kepentingan mereka yang mungkin terlibat.

Kononnya dapat selamatkan FELDA, tetapi selepas setahun apa yang berlaku hanyalah berdolak-dalik ataupun gimik politik.

Akmal Nasir
Penyelaras Parlimen KEADILAN Johor Bahru
Pengarah Strategi
Angkatan Muda KEADILAN
Parti KEADILAN Rakyat


Pengarang :