PBTSELANGOR

‘Fit Generation’ 2018, ikon MPK galak gaya hidup sihat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 FEB: Dalam usaha menggalak gaya hidup sihat, Majlis Perbandaran Klang (MPK) julung kali akan mengadakan program ‘Fit Generation’ yang diadakan setiap minggu keempat setiap bulan.

Yang DiPertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, program terbabit bertujuan mentranformasikan individu dan komuniti menjadi lebih sihat sekaligus Klang sebagai ikon kawasan mempunyai penduduk cergas dan sihat.

Katanya, ia akan dilaksanakan secara jelajah di lokasi berlainan sekitar kawasan Klang.

“Uniknya program ini, setiap peserta boleh mendaftar menjadi ahli dan mengumpulkan ‘point’ atau mata ganjaran sepanjang ‘roud tour’ berlangsung.

“Peserta berpeluang menebus hadiah istimewa pada acara kemuncak penutup ‘Fit Generation’ hujung tahun ini,” katanya.

Program terbabit akan memulakan jelajah di Taman Rakyat, Klang pada 25 Februari ini.

Antara pelbagai pengisian aktiviti diadakan antaranya Hari Bebas Kenderaan, Program Bumi Hijau, Kitar Semula- Ecogen Recyle Park, pemeliharaan Sungai Klang dan pemeriksaan kesihatan.

Selain itu, turut diadakan Kempen Green Strata/Komuniti, gotong royong dan senamrobik.

=EZY=


Pengarang :