BERITA UTAMASELANGOR

Gagal dapat kebenaran merancang 9 projek Rumah Selangorku dibatalkan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 7 FEB : Kerajaan Negeri membatalkan sembilan projek Rumah Selangorku yang sudah diluluskan sebelum ini.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar A Samad berkata, keputusan berkenaan dibuat berpunca kegagalan pemaju mendapatkan Kebenaran Merancang dalam tempoh dua tahun daripada tarikh kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Apabila pemaju diberi kelulusan membina Rumah Selangorku oleh MMKN, mereka diberi tempoh dua tahun untuk memulakan pembinaan.

“Malah, surat peringatan, notis 14 hari, notis akhir dan notis pembatalan juga kita akan keluarkan secara berperingkat mengikut tempoh tertentu,” katanya dalam kenyataan.

Iskandar berkata, pembatalan sembilan projek yang akan disahkan oleh MMKN membabitkan tiga projek di Kajang, dua projek di Selayang dan masing-masing satu projek di Subang Jaya, Shah Alam, Ampang Jaya dan Klang.

“Projek terbabit mula diluluskan antara tahun 2014 dan 2016.

“Kerajaan Negeri menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Pembangunan Rumah Selangorku untuk memantau pelaksanaan projek berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa itu dianggotai oleh Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS), wakil Pejabat Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, wakil Pejabat Tanah Galian Selangor, wakil Pejabat Tanah Daerah dan wakil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terlibat.

“Kerajaan Negeri sentiasa memantau projek sudah diluluskan dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pemaju yang melewatkan pembinaan projek Rumah Selangorku ini.

“Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri mengambil kira masalah dihadapi pemaju seperti masalah tanah, perundangan, cerun, pencerobohan dan sebagainya,” katanya.

Justeru, Iskandar berkata, selain dari pembatalan kelulusan MMKN, permohonan Kebenaran Merancang untuk projek-projek lain pemaju juga ditahan jika mereka melewatkan-lewatkan pembinaan Rumah Selangorku.

“Di bawah Kerajaan Negeri sekarang, pemaju tidak boleh membina Rumah Selangorku paling akhir tetapi perlu dibina terlebih dahulu atau serentak dengan rumah harga bebas.

“Di zaman Barisan Nasional, rumah kos rendah boleh dibina selepas rumah harga bebas siap dibina akibatnya rumah kos rendah terbabit tidak dibina,” katanya.

=EZY=


Pengarang :