NASIONAL

Gara-gara karikatur Najib muka depan majalah Gila-Gila

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 20 FEB: Tanpa usul periksa, Kartunis terkenal, Ujang atau nama sebenarnya Ibrahim Anon menjadi mangsa kecaman segelintir netizen di laman sosial facebook.

Kecaman itu dibuat apabila muka hadapan majalah humor popular, Gila-gila bagi keluaran Februari 2018 memuatkan karikatur Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang seolah-olah yang berpeluh memikirkan bilakah Pilihan Raya Umum Ke-14 patut diadakan.

Ujang dalam status terbaru di akaun facebook, berkata, beliau bukanlah pelukis karikatur tersebut.

“Den (saya) sibuk kek (di) dalam hutan buek (buat) kojo caghik (kerja cari) nafkah untuk anak bini.

“Pekombangan (perkembangan) politik pun den tak ambik tahu. Alih-alih keluar hutan kono (kena) tibai dek penyokong Umno sobab (sebab) cover majalah Gila-Gila bulan ini,” tulisnya dalam loghat Negeri Sembilan.

Majalah Gila-Gila Edisi Februari 2018. Foto Sumber; FB Gila-Gila

Bagaimanapun, kecamanan segelintir netizen yang dipercayai penyokong Umno itu mendapat kecaman balas netizen lain.

“Budak Umno dengan benda macam ini pun boleh rasa tergugat ke? Rasanya Gila-Gila dari dulu ada kartun yang mempersendakan ahli politik dalam dan luar negara,” tulis Tengku Zulhafeez Tengku Aziz.

“Takkan goyang kot? Aku tengok okey aja. Tak ada sensitif pun. Aku lagi suka baca buku ini dari baca risalah ideologi macai politik.

“Siapa yang makan dedak lebih sangat tu, ini aku nak bagi tahu, dalam kubur nanti tak tanya PM kau siapa tapi dia tanya tuhan kau siapa,” tulis pemilik akaun yang menamakan dirinya sebagai Dino Adrian Evanz

“Nak sentap apanya? Benak betullah. Ini cuma menggambarkan PM yang gusar kerana cabaran PRU kali ini begitu besar bagi beliau dan parti beliau.

“Masa pun makin suntuk. Ini humor ringan yang tak patut sesiapa sentap dengannya. Janganlah menangguk di air keruh,” tulis Salahuddin Ibrahim pula.

Karikatur Najib di muka hadapan majalah Gila-gila itu memaparkan ‘Najib’ sedang mencangkung di dalam sebuah bilik sambil diintai beberapa watak lain yang dipercayai sebagai petugas media.

‘Najib’ dalam lakaran itu digambarkan menghadap dinding yang dilekatkan kalender tahun 2014, 2015, 2016 dan 2017 yang dipangkah sambil berkata di dalam hati, “Aduh! Bila nak letak tarikh PRU-14 ni?”

=EZY=


Pengarang :