GLOBALSUKANKINI

Gerrard Moreno bikin Real Madrid merana

OLEH AFIX REDZUAN

ESPANYOL, 28 FEB: Jaringan lewat permainan Gerrard Moreno meranapkan impian Real Madrid untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata dalam aksi La Liga, pagi tadi.

Real Madrid turun tanpa kelibat Cristiano Ronaldo menguasai hampir 61 peratus permainan gagal memecah kekentalan pertahanan Espanyol.

Peluang terbaik Real Madrid hadir, pada minit keenam menerusi tandukan Gareth Bale tetapi berjaya diselamatkan penjaga gol, Diego Lopez.

Keylor Navas juga dipaksa bekerja keras di gawang Real Madrid bagi mematikan beberapa percubaan tuan rumah.

Ketika perlawanan memasuki minit pertama masa tambahan babak kedua, Moreno muncul wira Espanyol selepas meledak kencang hantaran Sergio Garcia bagi memastikan tiga mata memihak tuan rumah.

Keputusan itu merencatkan harapan Real Madrid yang sekadar mengutip 51 mata selepas 26 perlawanan untuk mengejar Atletico Madrid di tempat kedua dengan perbezaan tujuh mata.

Foto Kredit: AFP


Pengarang :