NASIONAL

Global Bersih mohon 25 hari tempoh kertas undi ditanda dipulang semula

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 14 FEB: Jawatankuasa Pemandu Global Bersih dan Bersih 2.0 menggesa Sururhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperuntukkan tempoh minimum 25 hari bagi memastikan kertas undi pos luar negara yang sudah ditanda dapat diterima dan dipulangkan semula.

Jurucakap jawatankuasa, Lydia Chai berkata, SPR bertanggungjawab untuk memastikan kertas undi kepada pengundi luar negara sampai tepat pada masanya supaya ia dapat dipulangkan semula ke tempat sepatutnya mengikut tempoh ditetapkan.

“Semasa Pilihan Raya Umum 2013 (PRU-13) yang lalu, tempoh masa antara pembubaran Parlimen dan penamaan calon adalah dua minggu. Dua minggu itu juga tarikh penamaan calon dan pengundian.

“Ini bermaksud hanya lebih kurang tempoh dua minggu diperuntukkan untuk undi luar negara dan ia amat berisiko tinggi.

“Global Bersih mendesak Pengerusi SPR, Tan Sri Che Mohd Hashim Abdullah untuk memastikan tempoh minimum selama 25 hari supaya kertas undi luar negara yang telah ditanda dapat diterima dan dipulangkan kepada pihak berkenaan tepat pada masanya,” katanya.

Bercakap pada sidang media di Pejabat Bersih beliau berkata, pihaknya kecewa apabila kos memulangkan kertas undi yang telah ditanda terpaksa ditanggung sendiri pengundi.

Justeru, Bersih mendesak SPR menyediakan kertas undi prabayar kepada pengundi luar negara bagi menampung kos penghantaran semula.

Dalam perkembangan sama pihaknya mengalu-alukan kenyataan SPR yang berjanji untuk melantik pemerhati tempatan dan antarabangsa pada PRU-14.

Selain itu, mereka turut menuntut jaminan SPR supaya pemerhati tempatan dan antarabangsa dimasukkan dalam proses pengawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Kami juga ingin mendesak Kerajaan Malaysia menjemput negara-negara Komanwel untuk menghantar Kumpulan Pemerhati bagi memantau pelaksanaan PRU-14 secara bebas.

“Inilah masanya untuk menunjukkan kredibiliti yang baik untuk Malaysia mengambil tempat sebagai Pengerusi Komanwel pada tahun 2020,” katanya.

=EZY=


Pengarang :