SELANGOR

Golongan kurang berkemampuan terus dipeduli dan dibantu

OLEH HAFIZAN TAIB

SEPANG, 11 FEB: Golongan kurang berkemampuan menjadi keutamaan Kerajaan Negeri untuk dibantu supaya mendapat pembelaan sewajarnya.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah, berkata program tahunan sumbangan kepada golongan memerlukan sempena Tahun Baru Cina diteruskan bagi tujuan itu.

“Pada kebiasaannya pada musim perayaan menjadi tradisi untuk kita memberi sumbangan kepada golongan sasaran seperti warga emas.

“Ia memang menjadi dasar Kerajaan Negeri bagi membantu golongan kurang berkemampuan di Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan sumbangan dan wang raya kepada warga emas sempena Tahun Baru Cina di Balairaya Kampung Baru Salak, Bandar Salak, di sini, semalam.

Seramai lebih kurang 200 warga emas menerima sumbangan itu termasuk buah limau dalam program anjuran Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Baru Salak itu.

Program sumbangan seperti itu juga dijalankan di beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) lain di Selangor dengan kerjasama JKKK kawasan dan agensi serta pertubuhan bukan Kerajaan (NGO).

“Kita sentiasa menggalakkan program seperti ini dijalankan terutama pada musim perayaan agar golongan sasaran tidak dipinggirkan,” katanya.

=EZY=


Pengarang :