OLEH SABIRAH AZIZ
SHAH ALAM, 19 FEB: Orang ramai berpeluang mendapatkan cenderahati mangkuk tingkat sempena Hari Bertemu Pelanggan (HBP) anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), pada 2 Mac ini, di Dewan Bankuet, Persiaran Perbandaran, Tingkat G, Wisma MBSA.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, pemberian itu sebagai salah satu inisiatif menyokong Kempen Pengurangan Penggunaan Beg Plastik dan Polisterin Selangor 2018.
“Program ini akan bermula dari jam 9.30 hingga 11.30 pagi, bertujuan mendekati warga Shah Alam dan memberi peluang kepada orang ramai serta pihak berkepentingan (stakeholder) menyalurkan aduan, komen juga saranan.
“Ia juga sebagai landasan kepada orang ramai khususnya warga Shah Alam bertemu pengurusan atasan MBSA bagi menyalurkan aduan dan permasalahan dialami di kawasan pentadbiran MBSA,” katanya.
Katanya, program itu adalah komitmen berterusan MBSA mempertingkatkan serta memperbaiki sistem penyampaian (delivery system) untuk manfaat warga Shah Alam.
Shahrin berkata, antara perkhidmatan disediakan adalah penyemakan dan pembayaran cukai taksiran, penyemakan serta pembayaran kompaun khususnya kompaun trafik, semakan aduan juga permohonan ubah suai premis.
“Ini merupakan usaha pihak Majlis memberi ruang kepada Jabatan/Bahagian/Pejabat Cawangan MBSA untuk mewar-war dan mempromosikan perkhidmatan serta produk kepada orang ramai yang hadir ke program ini,” katanya.