GLOBAL

Indonesia alami gempa bumi hampir setiap hari

OLEH: SHEEDA FATHIL

GLOBAL: 1 FEB: Kejadian gempa bumi di Indonesia bukanlah sesuatu yang luar biasa malah hampir dikatakan setiap hari berlaku sahaja gegaran di negara yang terletak di Lingkaran Api Pasifik itu.

Berdasarkan laman web Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG), kebiasaannya kejadian gempa sering kali berlaku pada skala sederhana atau lemah pada Skala Richter.

Ia kerap berlaku di dasar laut dengan pusat gempa jauh sehingga beratus-ratus kilometer yang menimbulkan kekhuatiran terjadinya tsunami.

Untuk tempoh sepanjang Januari 2018, sejumlah 44 kejadian dicatatkan berlaku di Indonesia.

Gempa bumi kuat berukuran 6.1 pada Skala Richter di Lebak Banten berlaku pada 23 Januari, kira-kira 153km dari Jakarta malah ia turut ‘menggoncang’ ibu kota itu yang dihuni lebih 10 juta orang.

Gempa bumi bukanlah suatu yang dibimbangkan di Malaysia, namun mengikut data Kementerian Pelancongan Indonesia, lebih sejuta rakyat Malaysia berkunjung ke Indonesia setiap tahun.

Apa yang perlu dilakukan sekiranya terjadi gempa?

Jangan panik – patuhi arahan pihak berkuasa;

Jika berada di dalam bangunan atau rumah, berlindung di bawah meja bagi mengelak ditimpa runtuhan;

Jangan menggunakan lif sewaktu proses evakuasi, sebaliknya guna tangga kecemasan tanpa berlari;

Jika berada di kawasan lapang, elakkan berada berdekatan pokok atau monumen tinggi;

Jika berada di pantai, segera beredar ke kawasan tinggi kerana gempa bumi berkemungkinan menyebabkan berlakunya tsunami.

Selain itu, gempa bumi juga akan menyebabkan rasa mual, loya dan pening kepala berikutan ketidakseimbangan badan akibat gegaran gempa, seolah-olah sindrom penyakit ‘vertigo’.

Sumber : BERNAMA


Pengarang :