BERITA UTAMASELANGOR

Ini nasihat JAIS kepada Neelofa, matlamat tak halalkan cara

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 28 FEB: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut menasihatkan selebriti dan usahawan terkemuka, Neelofa untuk mematuhi syariat sebagai umat Islam.

Pengarah JAIS, Sahibus Saadah Dato’ Haris Kasim berkata, tindakan Neelofa menganjurkan majlis pelancaran tudung di sebuah kelab malam di ibu negara pada Isnin adalah tidak wajar dan dikhuatiri menjadi ikutan.

“Kita tahu niat beliau baik ingin menjual tudung dan menggalakkan wanita menutup aurat tetapi dia perlu tengok jugak tempat kerana matlamat tidak menghalalkan cara.

“Walaupun JAIS tidak mempunyai kaitan dengan tindakan dan cara beliau ingin mempromosikan produk jualan kerana itu hak peribadi, namun dari segi syariat beliau perlu patuh bagi menjaga sensitiviti umat islam yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Menangani Gejala Khalwat Negeri Selangor 2018-2023 di Bangunan Sultan Idris Shah, pagi tadi.

Haris berkata, JAIS turut menyokong kenyataan yang dikeluarkan Mufti Wilayah Persekutuan menegur tindakan selebiriti itu yang boleh membawa fenomena normalisasi dalam bertudung.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dalam kenyataannya di laman Facebook semalam, khuatir tindakan itu akan timbul persepsi apa saja seperti membolehkan dan dibenarkan pergi ke kelab malam asalkan bertudung.

“Tidak salah untuk kita mencari kelainan. Malah, kadangkala kelainan itulah yang melorongkan seseorang ke jalan Tuhan. Namun, fitnah dan tohmahan perlulah sentiasa dielakkan.

“Kami khuatir, apa yang terjadi baru-baru ini bakal membawa satu fenomena normalisasi dalam bertudung. Apa sahaja boleh dan dibenarkan asalkan bertudung.

“Kekhuatiran ini bukan bermakna agama mengongkong wanita, tetapi agamalah yang sebenarnya membebaskan wanita daripada penjara keterbukaan tanpa had, kepada mendapat hak kebebasan yang bersyariat,” katanya

Beliau turut berpesan kepada Neelofa untuk menghayati syariat Islam yang sebenarnya dengan bertanya kepada ulama sebelum bertindak, sentiasa memelihara imej wanita bertudung dan carilah rezeki yang diberkati Allah SWT.

=EZY=


Pengarang :