OLEH SYAZWANI SUFIAN
SUBANG JAYA, 11 FEB: Kerajaan Negeri bakal memberi insentif maksimum sebanyak RM200,000 kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang membina laluan basikal sebelum 31 Mac ini.
Exco Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan Kecil & Sederhana (IKS) dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Kim berkata, ia bertujuan bagi menggalakkan PBT merancakkan lagi pembinaan laluan berbasikal.
“Kerajaan Negeri membuat keputusan untuk semua PBT yang dapat memberikan tender pembinaan laluan basikal sebelum 31 Mac akan menerima insentif maksimum RM200,000.
“Jika laluan itu menelan belanja sebanyak RM300,000, maka PBT hanya perlu menanggung RM100,000 sahaja, namun jika kos diperlukan adalah RM100,000 maka Kerajaan Negeri akan memberi jumlah diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis pelancaran Trek Basikal MPSJ Putra Heights di Taman Rekreasi Putra Bistari 2, Persiaran Putra Perdana, Putra Heights, di sini hari ini.
Bagaimanapun Teng berkata, insentif itu hanya diberi sebelum 31 Mac, jika selepas tarikh itu insentif akan dipotong 50 peratus dan berlanjutan sehingga Jun.
“Oleh itu saya mohon kepada semua PBT untuk mengambil kesempatan ini merancakkan program pembinaan trek basikal.
“Ia sejajar hasrat Kerajaan Negeri mengurangkan penggunaan pengangkutan disamping menyelesaikan masalah kesesakan dan ke arah membina bandaraya hijau,” katanya.
=EZY=