BERITA UTAMANASIONAL

Isu China: Malaysia bakal senasib Sri Lanka, Zimbabwe?

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 31 JAN: Malaysia berisiko menerima nasib seperti Sri Lanka dan Zimbabwe yang terpaksa menyerahkan kepentingan strategik mereka kepada China ekoran kegagalan negara itu membayar pinjaman masing-masing.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, hal ini boleh berlaku sekiranya Kerajaan Malaysia gagal menjana keuntungan daripada projek Landasan Pantai Timur (ECR) untuk membayar hutangnya kepada China.

“Apa yang berlaku di negara seperti Sri Lanka adalah kerana hutang tak mampu dibayar dan perkara sama juga boleh berlaku kepada Malaysia.

“Maknanya, kita berhutang dengan China, hutang itu untuk menjalankan projek itu tetapi katakanlah jika keuntungan Landasan Pantai Timur (ECRL) ini tidak cukup untuk membayar hutang, China kata sebab kamu tak mampu bayar aku ambil projek ini. Kita terpaksa serahkan kepada China.

“Ini berlaku bukan sahaja di Sri Lanka tetapi juga di negara-negara Afrika dan negara-negara Caribbean,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, kepentingan strategik Sri Lanka iaitu Pelabuhan Hambantota di selatan negara itu yang merentangi laluan perkapalan timur-barat tersibuk di dunia, terpaksa dipajak selama 99 tahun kepada China.

Katanya, pelabuhan laut dalam itu dibuat bagi membolehkan Sri Lanka membayar hutang mereka kepada China.

=EZY=


Pengarang :