SELANGOR

Isu pembahagian kerusi bakal selesai hujung Februari

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 13 FEB : Isu pembahagian kerusi komponen PAKATAN di Selangor bakal diselesaikan menjelang hujung Februari ini.

Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya Pakatan Harapan (PAKATAN), Dr Xavier Jayakumar optimis pertindihan 15 baki kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu boleh dicapai secara muafakat.

“Perbincangan masih berjalan dan sebarang rundingan akan diselesaikan sebelum penghujung Februari ini.

“Tak guna bertanding banyak kerusi jika faktor kemenangan itu tipis. Matlamat utama kita bertanding adalah untuk mempertahankan kemenangan di Selangor.

“Semua pihak berhak mengemukakan bilangan kerusi namun tujuan kita nak menang. Kita berpegang teguh dengan saranan Pengerusi Harapan Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali untuk meletakkan calon yang ada keupayaan untuk menang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Ibu Pejabat SPR Selangor, pagi ini.

Terdahulu, rundingan pengagihan kerusi DUN Selangor sepatutnya dimuktamadkan 31 Januari lalu.

Bagaimanapun, ia terpaksa dilanjutkan susulan pertindihan beberapa calon dalaman komponen PAKATAN melibatkan KEADILAN, DAP, AMANAH dan Parti Pribumi Bersatu (PPBM).

=EZY=


Pengarang :