Selangorkini
SUKANKINI

Isu Stadium KL: FMLLP sokong, sedia bantu FAS

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 1 FEB: Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) menyokong dan berusaha bagi memastikan Selangor dapat menggunakan Stadium Kuala Lumpur, Cheras, sebagai venue rasmi untuk Liga Malaysia (Liga M) 2018.

Dalam kenyataannya, FMLLP menyambut baik makluman Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang mendapat kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi penggunaan stadium berkenaan.

“Jika kelulusan diperolehi maka FMLLP tiada halangan, kami akan bekerja keras untuk mengubah segala jadual dan perancangan perlawanan untuk Selangor yang akan bermain di stadium itu bersama dua pasukan lain.

“Dengan apa yang kami boleh bantu, kita akan sentiasa memberi bantuan,” katanya.

Sehubungan itu, FMLLP menafkan laporan media menyatakan pihaknya cuba menggagalkan usaha FAS bagi menggunakan Stadium Kuala Lumpur.

Sebelum ini, FMLLP memaklumkan FAS perlu mendapatkan kelulusan DBKL bagi penggunaan stadium berkaitan bagi memenuhi syarat ditetapkan.

FAS mahu menggunakan Stadium Kuala Lumpur kerana ia mempunyai kemudahan bagi perlawanan sebelah malam untuk menarik kehadiran ramai penyokong berbanding Stadium Majlis Pebandaran Selayang (MPS), Selayang, hanya untuk perlawanan pada petang kerana masalah lampu limpah.

FMLLP berkata, Stadium Kuala Lumpur kini mempunyai dua pasukan memohon untuk bermain di situ dan pihaknya tetap mempertimbangkan permohonan Selangor sebagai pasukan ketiga.

“Selangor sebuah pasukan besar dan selayaknya bermain perlawanan di waktu malam dan kita mengambil kira mengenai penyokongnya yang dekat untuk ke stadium.

“Selain itu, kita turut mengambil kira mengenai nilai liga di mana kehadiran ramai penyokong Selangor ke stadium malah jumlah penonton di rumah juga bertambah jika perlawanan disiarkan secara langsung pada sebelah malam,” katanya.

Stadium Kuala Lumpur turut menjadi venue pasukan Kuala Lumpur dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk Liga M musim ini.

=EZY=


Pengarang :