SELANGOR

Isu tanah Ijok selesai secara menang-menang

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 FEB: Penyelesaian isu tanah di Mukim Ijok bukan sahaja melegakan 980 keluarga peneroka yang menerima pampasan tunai RM180,000 dan rumah RM400,000, sebaliknya turut memberi kelebihan kepada Kerajaan Negeri.

Penyelaras Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penyelesaian menang-menang itu membolehkan Kerajaan Negeri mendapat habuan 1,000 ekar tanah dengan nilai pasaran dianggarkan RM750 juta.

“Peneroka bergembira dengan bayaran tunai dan akan mendapat rumah impian mereka bernilai RM450,000 apabila siap.

“Oleh kerana komitmen Dato’ Menteri Besar kepada penyelesaian yang baik itu, Kerajaan Negeri juga mendapat habuan 1,000 ekar dan anda nilai sendiri penyelesaian antara mantan juga penyandang Menteri Besar sekarang ini secara adil,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas dakwaan dilemparkan kepada Kerajaan Negeri, Dzulkefly menyifatkannya sebagai fitnah apabila pihak terbabit gagal menyelesaikan isu yang berlarutan sejak sekian lama.

Katanya, Umno-Barisan Nasional (BN) melalui Pengarah Strategi dan Komunikasinya, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan jelas tidak memahami ‘global formula’ yang bersifat ‘menang-menang’ untuk semua pihak termasuk peneroka serta pemaju yang digunapakai kerajaan negeri.

Pada masa sama, Dzulkefly berkata, formula penyelesaian Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim boleh mengundang risiko dengan terpaksa membayar ratusan juta ringgit kepada pemaju berdasarkan kadar komersial seperti kes kejayaan Maybank menyaman Kerajaan Negeri dalam rampasan tanah sama.

“Agak lucu kerana seorang korporat tidak tahu yang bank sudah memberi kredit atau pinjaman punya hak yang tidak bolih diatasi atau dikalahkan (indefeasible charge) ke atas tanah itu.

“Mereka berhak melelong tanah itu untuk mendapatkan bilion ringgit pinjaman yang diberikan kepada pemaju kroni tadi. Nyata Khalid tidak langsung menghitung kemaslahatan dan risiko peneroka yang akan hilang segala hak,” katanya.

Beliau berkata, kemenangan Kerajaan Negeri di mahkamah sebelum ini hanyalah disebabkan kelemahan teknikal pihak pemaju yang melepasi 40 hari rayuan.

 


Pengarang :