Selangorkini
SELANGOR

Isu tanah Ijok: UMNO-BN punca, gagal kota janji

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 23 FEB: UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadi punca tanah di Ijok membabitkan Alam Perdana, Alam Mutiara dan Alam Utama jatuh ke kancah hutang ekoran kegagalan parti itu mengotakan janji mereka kepada peneroka, kata Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar, Yin Shao Loong.

Shao Loong berkata, bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pula dilihat cuba memainkan peranan semasa pemerintahannya, namun terikat kes undang-undang dan tuntutan pampasan.

“Beliau tidak dapat menyelesaikan masalah semua peneroka, sekali gus gagal membangunkan tanah itu.

“Bagaimanapun, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berjaya menyelesaikan masalah dialami peneroka dengan mengenakan syarat ke atas pengambilan persendirian Alam Mutiara dan Alam Utama yang tidak sedikit pun menjejaskan kos kepada Kerajaan Negeri,” katanya dalam kenyataan.

Shao Loong berkata, Umno-BN gagal membersihkan nama mereka, maka pencapaian Kerajaan Negeri hari ini yang berjaya menyediakan rumah mampu milik menerusi Skim Rumah Selangorku untuk menyelesaikan masalah peneroka Ijok terus dipolitikkan.

“Krisis perumahan yang tidak dapat diselesaikan BN menjadi punca peneroka FELDA terus menderita ekoran salah urusnya.

“Berkenaan Khalid pula, jelas dilihat bahawa beliau masih mahukan jawatan Menteri Besar apabila beliau muncul di Konvensyen UMNO Selangor baru-baru ini dan melemparkan tuduhan palsunya terhadap Kerajaan Negeri.

“Jadi tidak hairanlah, kita melihat mereka sedaya upaya cuba menyerang Mohamed Azmin dan Selangor,”katanya.

Bagaimanapun, Shao Loong berkata, pada masa akan datang, rakyat Selangor akan menentukan siapa yang berkhidmat dengan terbaik.

“Peneroka Alam Mutiara dan Alam Utama pasti tahu siapa yang membantu menyelesaikan perjuangan 18 tahun mereka untuk keadilan dan ketenangan jiwa,” katanya.


Pengarang :