SELANGORWANITA & KEBAJIKAN

IWB anjur seminar wanita galak keseimbangan kerjaya

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 FEB: Penganjuran Seminar Keseimbangan Hidup Bekerjaya yang dijayakan Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor mampu mengukuhkan peranan wanita dalam institusi kekeluarga negara.

Pengerusi IWB, Zuraida Kamaruddin berkata, penganjurannya diwujudkan bagi memberi pendedahan umum terhadap pelaksanaan keseimbangan kerjaya dan keluarga.

“Ini adalah sebahagian daripada agenda untuk memberdayakan kebajikan wanita Selangor dengan mefokuskan aspek keseimbangan hidup bekerjaya bagi menghasilkan pendekatan baru untuk meningkatkan kualiti wanita Selangor.

“Usaha ini dijalankan kerana kita mahu melahirkan wanita Selangor yang bukan sahaja bekerjaya tetapi bahagia bersama keluarga dan pada masa sama dapat mengekalkan identiti daripada segi penyediaan jati diri maasing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Seminar Keseimbangan Hidup Bekerjaya (Work Life Balance) anjuran Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor, di Dewan Auditorium Tingkat 2, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Raja Tun Uda, pagi ini.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi dan Ahli Lembaga Pengarah IWB, Haniza Talha.

Pada masa sama, seramai lebih 300 peserta terdiri daripada kakitangan wanita kumpulan anak syarikat Kerajaan Negeri (GLC) hadir pada seminar berkenaan.

Ia menampilkan panelis terkenal antaranya Felo Kanan di Institute Of Southeast Studies (ISEAS), Dr Lee Hwok Aun dan Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Norizan Abd Razak.

Seminar berkenaan turut menampilkan Timbalan Dekan Akademik Malaysian Japan International Institute Of Technology (MJIIT) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Sabariah Baharun dan Pensyarah Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa, Dr Ruhaya Hussin.


Pengarang :