SASTERA

Jaguhku

Oleh Johan Radzi

MEREKA memuja-muja namamu seperti sabda yang gugur dari gugusan bintang. Aku masih ingat lagi pertarunganmu di Pelabuhan Klang. Mereka menyusun pentas dan lampu dan meja dan kerusi dan mempertembungkan kau dengan petarung dari Padang Besar. Kalian akan bergasak di dermaga terpinggir, di atas kapal karat yang sudah tidak digunakan orang. Bapaku membawaku ke sana dan di sana aku telah menatap kau buat pertama kali.

Mereka bilang kau petarung muda yang sedang membina nama dari bawah tanah. Mereka kata tulang-tulangmu sekeras besi dan urat-uratmu berselirat dawai. Kau sedang melonjak naik dari satu pertarungan ke satu pertarungan dan setiap seterumu roboh seperti pohon-pohon yang dilanggar bah raksasa. Tiada siapa yang dapat menahan buku limamu dan tiada siapa dapat bangkit selepas tendangan taufanmu.

Begitu juga dengan seterumu yang hadir dari Padang Besar itu.

Mereka kata kau anak flat, seperti kami yang hidup terhimpit di pinggir kota ini. Sebab itu juga kami jatuh cinta kepadamu. Bahawa kau mengaji tinju muay sejak berumur tujuh tahun dan membelasah barua-barua Cina Pandamaran ketika kau masih di bangku persekolahan. Kau habisi kelima-lima lelaki berparang itu dengan hanya tarian gocohmu dan satu-satu tumbang apabila tumbukan sauk dan siku menghentam keras di dagu. Sejak itu, mereka menobatkan namamu sebagai jaguh di desa kami. Di balai, di sekolah, di masjid, dan di warung-warung kopi kami menyebut-nyebut jasa baikmu. Bapa-bapa menghantar anak mereka ke gelanggang tinju dengan harapan untuk menjadi sekuatmu. Kau menyambutnya dengan sengihan tawar dan tertunduk-tunduk sipu malu.

Lelaki Padang Besar itu juga tumbang. Dan kau mengepal tinjumu di udara dan kami bersenandung lagi memuji-muji namamu. Seterumu jatuh terkulai seperti anjing yang baru dilanggar di Tanjung Harapan. Tidak lagi bergerak-gerak. Kaku. Keras. Hampir-hampir tidak bernyawa. Pasukan perubatan bergegas mengangkatnya ke atas pelantar.

Setelah itu, kami dengar juga kau bertarung di gelanggang-gelanggang lain di pelosok tanah air. Kau bertarung dengan guru tinju di Kota Bharu dan kepala gengster Kuala Perlis. Habis kau belasah. Kemudian di Narathiwat juga mereka membuka gelanggang bawah tanah dan di sana kau dipertemukan dengan khru-khru rumah tinju Bangkok. Ada sebilangan mereka anggota polis, mantan tentera, malahan juga bekas banduan. Aku tahu ini kerana aku ada bersamamu dan aku turut mengikutimu ke kilang terbiar di tanah Siam itu semata-mata untuk menikmati aksi pertarunganmu.

Kau tetap juara di mana-mana.

Kau menyertai kongsi gelap apabila usiamu genap  dua puluh satu. Mereka mendengar tentang kejaguhanmu dan berhasrat untuk mendapatkanmu di bawah sayap mereka. Kami tahu mereka menawarkan untuk melangsaikan beban hutang bapamu yang kuat berjudi itu. Malahan mereka juga sanggup berikan kau imbuhan lumayan dan gadis-gadis berdada montok, berpinggang ramping – khas dari Indonesia, Vietnam, dan Kemboja. Tugasmu hanya tiga: memujuk orang-orang yang enggan membayar hutang, menemani ketuamu ke kelab-kelab malam, serta menghantar bungkusan-bungkusan aneh ke beberapa alamat tertentu. Kau setuju.

 Kemudian kau bernikah setahun kemudian . Wanita itu kupu-kupu malam asal Beijing yang berumur lima tahun lebih tua daripada kau. Kau menemuinya di kelab malam kelolaan majikanmu dan setelah bermalam-malam larut dalam bir dan syabu, kelopak cinta pun berputik perlahan-lahan. Dan kami tetap menghormati hasratmu walaupun kami tahu perempuan itu mempunyai latar belakang yang tidak menyenangkan. Tidak mengapa, jaguhku. Hasil pernikahanmu menghasilkan dua cahaya mata yang tetap kami kasihi. Keluargamu terus nampak bahagia di laman Instagram.

Meski begitu kau masih sempat beraksi. Saban bulan Majlis Perbandaran Kuala Lumpur mengadakan pertarungan di stadium nasional dan kau menyertainya dengan semangat baru – bahkan lebih agresif berbanding tahun-tahun sebelumnya. Peninju-peninju dari Afrika itu kau habisi dengan libasan kaki tepat ke dagu. Dari Eropah juga, kau bantai lelaki ‘mat saleh’ kurang ajar itu. Akhirnya peninju Chile terkemuka – Antonio Gomez – tersembam setelah berasak-asak dengan kau selama lima pusingan penuh. Wajahmu termuat di dada-dada akhbar dan anak-anak muda berebut untuk berswafoto denganmu supaya termuat di media sosial. Kau cedera dan hidungmu berdarah namun kau tetap memperolehi kemenangan. Sakitkah, jaguhku? Tidak mengapa, kesakitan itu sementara namun kemenangan kekal terpahat selama-lamanya. Kau tetap jadi kebanggaan kami semua.

Namun tiada siapa menjangka apa jadi beberapa minggu seterusnya: suatu malam kau pulang rumah awal daripada biasa, kau dapati isterimu sedang dihenjut majikanmu di dapur dan engkau pun naik darah seperti kerbau jantan dan kau binasakan mereka dengan buku lima. Memang nyawa-nyawa ikan mereka kau buat sebelum polis menyerbu masuk. Berita ini mengejutkan seantero rakyat tanah air – terutama bagi mereka yang mendukung-dukung namamu.

Lantas, netizen-netizen kita yang maha tahu itu mengutuk-ngutuk peribadimu sebagai pendera isteri dan dayus memukul wanita. Puak-puak feminis memalitkan kau sebagai wajah terhodoh patriarki. Mereka tidak tahu kisah sebenar, jaguhku. Kami tahu. Kami mengerti.

Jaguhku, ujian berat jatuh bertimpa-timpa ke atas dirimu.

Di balik jeriji besi, asalnya kau tidak bertarung, tetapi keadaan memang selalu memaksa kita menjadi buas, bukan? Para banduan serta warden menikmati keganasan itu. Kadang-kadang di bilik gelap warden akan mempertaruhkan wang untuk menentukan kemenangan. Di sana mereka ada panggilan untukmu: Hering Belang.

Setelah keluar, kami dengar cerita bahawa kau ke rumah isterimu di Subang Jaya untuk menjenguk anak-anakmu. Tetapi isterimu sekarang sudah bernikah dengan orang lain dan anak-anakmu juga sudah tidak mengenali kau. Kehampaan membawa diri ke desa semula di Pelabuhan Klang. Kau menutup pintumu dan berhari-hari kau mengunci diri.

Kami tidak mengetahui apa-apa yang terjadi kepadamu. Pada minggu berikutnya, kami menyedari bahawa kau sudah menghilangkan diri. Rumahmu kosong meskipun keretamu masih terparkir. Berbagai-bagai spekulasi timbul: ada seseorang mengakui melihat kau bertapa di Gunung Ledang melalui mimpi-mimpinya. Seseorang lagi mengakui melihat kau menyertai pejuang-pejuang revolusi di Pattani. Tidak kurang juga ura-ura bahawa kau sudah pulang ke dunia jenayah.

Malahan ada juga suara sumbang tergamak mengatakan bahawa kau sudah pergi ke kota jauh ke sini semata-mata ingin bunuh diri. Mereka kata mereka menemui iras-iras mayatmu tersangkut di jala nelayan di jeti Tanjung Balau, Johor. Kami tidak pasti sejauh mana kebenaran kisah-kisah ini. Kau adalah jaguh desa kami yang kami puja-pujakan. Wira kami yang galak beraksi. Masakan kau mudah tertewas dengan bisikan-bisikan bunuh diri gampang itu.

Kami masih akan tetap setia menantimu pulang. Suatu hari nanti kau akan kembali, bukan? Suatu hari nanti kau akan menari di atas gelanggang bercahaya dan memenangi hati kami seperti dahulu, bukankah jaguhku?


Pengarang :