Selangorkini
PENDIDIKAN SELANGOR

JAIS komited lahirkan guru KAFA berkualiti

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 FEB: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terus komited melahirkan guru KAFA berkualiti dalam perkhidmatannya untuk mendidik generasi Islam.

Pengarahnya, Dato’ Haris Kasim berkata, langkah itu akan dipastikan menerusi latihan dan kursus diikuti mereka bagi memastikan keupayaan serta profesionalisme sentiasa dipertingkatkan.

Katanya, ia seiring pendewasaan pendidikan alaf baru yang menuntut peningkatan kualiti perkhidmatan guru terbabit.

“Kepantasan perubahan dunia pendidikan, sains dan teknologi memberi impak besar kepada perkembangan pelajar.

“Dunia tanpa sempadan antara cabaran yang wajib digalas supaya tidak ketinggalan dalam arus pemodenan,” katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Guru KAFA tahun 2017, Meraikan Guru KAFA Bersara dan Jasamu Dikenang 2018.

Pada masa sama, Haris berkata, menjadi tanggungjawab pihaknya melahirkan kakitangan berwawasan, berkualiti dan mempunyai jati diri tinggi supaya mampu menggalas tugas dengan cemerlang.

“Tanggungjawab ini juga supaya profesion perguruan dipandang tinggi ke hadapan.

“Saya juga menyeru guru bersiap siaga dalam menjangka kemungkinan yang akan berlaku dalam pengurusan pendidikan alaf baru dengan penuh kesabaran seperti terkandung dalam pelan pengurusan risiko JAIS,” katanya.

Dalam program itu, seramai 493 penerima Anugerah Perkhidmatan Guru Kafa Cemerlang (APC) menerusi lima kategori berbeza.

Daripada jumlah itu, 320 penerima menerima APC bagi kategori Guru Kafa; seramai 29 orang menerima APC (Ketua Guru) dan APC penyelia KAFA seramai dua orang.

Manakala, 93 orang menerima Anugerah Jasamu Dikenang 2018 (khidmat 25 tahun) dan seramai 49 orang menerima Anugerah Persaraan (60 tahun).

Anugerah disampaikan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, di Dewan Jubli Perak, di sini.


Pengarang :