SELANGOR

Jalan ditutup sempena Lumba Basikal Kriterium Shah Alam

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 20 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menutup beberapa jalan pada 2 dan 3 Mac (Jumaat dan Sabtu), sempena penganjuran Kejohanan Lumba Basikal Kriterium Shah Alam ke-13.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, antara jalan-jalan terlibat adalah Persiaran Tasik yang akan ditutup bagi persiapan tempat pada 2 Mac, mulai jam 10 malam sehingga 12.00 tengah malam.

Manakala, katanya, Persiaran Tasik, Persiaran Dato’ Menteri serta Persiaran Masjid pula akan ditutup pada 3 Mac mulai jam 5.00 pagi sehingga 7.00 petang.

“Sehubungan dengan itu, pihak Majlis akan menutup sementara jalan sepanjang acara ini berlangsung dan pada hari persiapan pertandingan.

Program yang berlangsung di Persiaran Tasik, Shah Alam (sekitar Taman Tasik Shah Alam) itu adalah acara tahunan bagi menggalakkan aktiviti sukan dalam usaha melahirkan masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas.

“Jalan-jalan ini akan dibuka semula secara berperingkat sebaik acara selesai dilaksanakan.

“MBSA memohon orang ramai khususnya pengguna jalan raya supaya mematuhi arahan diberikan anggota penguatkuasa MBSA dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengawal aliran trafik semasa pertandingan ini diadakan,” katanya.


Pengarang :