NASIONAL

Jangan mudah percaya suplemen tambahan untuk minda

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 21 FEB: Kewujudan pelbagai produk makanan tambahan seperti produk untuk membantu menguatkan IQ atau minda sebenarnya tidak wujud sama sekali.

Pakar Perunding Perubatan dan Nefrologi, Rafidah Abdullah melalui catatan twitternya berkata, penggunaan produk itu yang semakin meningkat di Malaysia banyak mempengaruhi masyarakat pada masa kini.

“Hentikan mempercayai produk-produk mengarut untuk kanak-kanak, remaja. Bayi memang sah tak boleh. Jadi, jika nak pandai dan berjaya, bukan harapkan produk minda.

“Usaha tangga kejayaan..takkan ada kejayaan akademik atau apa pun yang datang bergolek. Produk sebegitu tidak menjadikan mereka pandai. Itu bukan caranya,” katanya.

Beliau menyatakan Dr Amalina Bakri sebagai contoh individu yang tidak mengambil sebarang suplemen atau produk sepanjang perjalanannya menuntut ilmu.

“Dia sudah ada tiga ijazah, sekarang tengah berusaha untuk PHD dan bakal menjadi Pakar Bedah tidak lama lagi. Antara ‘top surgical trainee’ di United Kingdom.

“Amalina juga antara individu yang sentiasa berusaha, sangat bekerja keras yang pernah saya kenali. Komitmen dan kesungguhan beliau sangat tinggi dan paling penting, dia tidak mengambil sebarang suplemen atau produk,” katanya.

Rafidah turut menasihatkan ibu bapa supaya memberikan dorongan sepatutnya tanpa memberikan produk seumpama itu kepada anak-anak.

“Pengambilan produk yang tidak pasti keberkesanannya ini hanya akan menambahkan beban kepada organ sahaja. Namun, sekiranya ingin mengambil makanan sunnah, boleh diteruskan tetapi bukanlah yang telah diproses menjadi produk.

“Masyarakat juga sudah bijak menilai kerana adanya golongan berpendidikan yang berani tampil membanteras penjualan produk seperti ini.

“Kita sendiri pun perlu ambil tahu dan prihatin dengan perkara seperti ini bagi mengelakkan gangguan kesihatan kepada diri sendiri ataupun orang sekeliling kita,” katanya.

Produk itu mudah didapati di mana-mana sahaja kedai menjual suplemen atau makanan tambahan dengan rata-rata penjual mendakwa produk berkenaan adalah yang terbaik.

Ia biasanya didakwa berfungsi sebagai agen pemutih kulit, anti-penuaan, membantu mencerdaskan badan dan ada juga yang didakwa berfungsi untuk meningkatkan tahap IQ seseorang.

=EZY=


Pengarang :