SELANGOR

Janji BN beri rumah percuma tidak realistik

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 FEB: Janji Barisan Nasional (BN) untuk memberi rumah percuma kepada pasangan muda baru berkahwin sekiranya menang di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) disifatkan hanya janji kosong.

Timbalan Pengerusi KEADILAN Selangor, Zuraida Kamarudin berkata, janji yang ditawarkan itu tidak realistik, malahan BN terdahulu gagal memberikan khidmat kepada rakyat, di negeri terbabit.

Malah, beliau turut mempersoalkan kemampuan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos, yang tidak mempunyai rekod amanah dan tidak mempunyai kredibiliti.

“Janji beliau tidak ditepati. Jamal tidak ada kredibiliti, tidak ada ‘track record’ yang amanah, jujur dan kita tidak boleh pakai janji orang macam ini.

“Janji kosong BN ini yang digunakan 60 tahun dulu, sebab itu BN kalah, pada 2008 sehingga kini,” katanya lapor FMT.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Jamal yang berjanji akan memberi rumah percuma kepada pasangan muda baru berkahwin jika parti itu berjaya menawan negeri berkenaan, pada PRU14.

Terdahulu, Jamal berkata, pihaknya sudah membincangkan perkara itu dengan Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Pada masa sama, Zuraida mengingatkan BN untuk menerima hakikat bahawa rakyat kini lebih mempercayai kemampuan PAKATAN yang mentadbir Selangor.

“Kerajaan Selangor yang ada masa ini, kita cakap dan buat. Sebab itu, saya cakap Jamal tidak rasional dan cakap tak boleh pakai, sebab tidak ambil kira statistik berkenaan kajian, analisa keadaan semasa ekonomi dan kedudukan kewangan,” katanya.

 


Pengarang :