dav
SELANGOR

Jom Shopping Tahun Baru Cina ringankan beban rakyat

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 2 FEB : Masyarakat Cina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pinang menyambut baik program Jom Shopping Tahun Baru Cina dilaksanakan Kerajaan Negeri.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Pinang, Dato’ Teng Chang Kim berkata, sambutan diterima kali ini amat meriah dengan kehadiran 500 penerima baucer Jom Shopping Tahun Baru Cina.

“Rata-rata penerima berterima kasih kepada Kerajaan Negeri dan berharap program seperti ini diteruskan lagi pada masa akan datang.

“Kerajaan Negeri sememangnya prihatin dengan masalah rakyat terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan hari ini saya berasa gembira kerana berpeluang menyantuni warga emas,” katanya.

Beliau berkata ketika merasmikan Program Jom Shopping Tahun Baru Cina yang diadakan di Pasaraya Econsave, Klang Parede, di sini, hari ini.

Bagi penerima Ley Veng Kim, 72, pemberian baucer sebegini dapat meringankan beban warga emas untuk membuat persiapan menjelang Tahun Baru Cina akan datang.

“Saya amat berterima kasih kepada Dato’ Teng Chang Kim kerana dapat turut serta dalam pemberian kupon Jom Shopping hari ini. Ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban kewangan bagi menghadapi perayaan Tahun Baru Cina,” katanya.

Seorang Orang Kelainan Upaya (OKU), Chan Kwai Ying, 52, berkata, walaupun pemberian sejumlah RM100 ia tetap bermakna buat beliau dan keluarga dalam persediaan menyambut Tahun Baru Cina.

“Baucer RM100 ini membolehkan saya membeli pelbagai barangan keperluan di pasaraya ini malah ia lebih daripada cukup,” katanya.

Terdahulu, Chang Kim berkata, beliau hargai usaha Kerajaan Negeri mewujudkan program memberi baucer sempena perayaan kerana belum ada mana-mana negeri di Malaysia ini mampu untuk melakukan seperti Selangor.

“Sejak 2009, sejumlah RM 2.5 juta baucer dilaksanakan Kerajaan Negeri untuk diberikan kepada setiap rakyat menjelang hari perayaan setiap tahun,” katanya.


Pengarang :