AGAMASELANGOR

KAFA menengah lahirkan lebih ramai generasi Al-Quran

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 FEB: Kerajaan Negeri berhasrat untuk memperbanyakkan lagi sekolah KAFA menengah dalam usaha melahirkan generasi Al-Quran yang berjiwa rabbani.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Yunus Hairi berkata, usaha itu juga dilaksanakan ekoran terdapat permintaan tinggi daripada ibu bapa yang mahu memberikan pendidikan Islam terbaik untuk anak mereka.

Katanya, setakat ini terdapat 25 sekolah dan seramai 800 pelajar mengikuti pengajian pengajian terbabit.

“Kita cuba galakkan lagi anak ini mengikuti pengajian di peringkat menengah. Usaha ini dilaksanakan sejak 2014 dan yang pertama dilaksanakan, di negara ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Guru KAFA 2017, Meraikan Guru KAFA Bersara dan Jasamu Dikenang 2018.

Dr Yunus berkata, kebanyakan pelajar menerima keputusan peperiksaan yang membanggakan hasil usaha melaksanakan inisiatif pengajian itu.

“Ini menunujukkan wadah untuk memberikan pendidikan Islam terbaik sebagai salah satu sumber pendidikan di negara ini adalah tepat,” katanya.

Pada 2014, Kerajaan Negeri memulakan pilot projek dengan menubuhkan beberapa kelas KAFA peringkat menengah di sembilan Sekolah Rendah Agama (SRA) sedia ada.

Ia bermula di SRA Bukit Sentosa, Bandar Tasik Puteri, Sungai Buloh, Kampung Jalan Kebun, Bandar Bukit Puchong, Jalan Klang Lama, Telok Panglima Garang, Jalan Pandan Indah dan Kampung Sungai Udang.

Pendidikan di KAFA menengah adalah pendidikan alternatif kepada murid yang tidak berpeluang untuk mengikuti pengajian sekolah agama menengah negeri atau persekutuan.

 


Pengarang :