SELANGOR

Karnival amal dana bina parkir surau

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 FEB: Karnival amal yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Surau Madrasah Muhammad Ali Jalan Haji Tahir, Jalan Kebun di sini untuk mencari dana bagi pembinaan parkir surau terbabit wajar dijadikan contoh kepada penduduk setempat.

Ahli Dewan Negeri (ADN), Shuhaimi Shafiei berkata, Karnival Amal Mini merupakan acara setengah hari, bermula pada jam 8 pagi sehingga 1 petang itu menggalakkan orang ramai hadir dan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti sambil menderma serta melakukan pemeriksaan kesihatan secara percuma.

“Ia sebagai satu inisiatif jawatankuasa mencari dana untuk pembinaan parkir dan ini sewajarnya dijadikan contoh kepada penduduk setempat atas usaha murni ini.

“Diharapkan, usaha ini dapat diteruskan pada masa akan datang bukan sahaja menganjurkan program sebegini tetapi aktiviti lain,” katanya.

Shuhaimi turut menyumbangkan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada surau berkenaan bagi membantu kerja-kerja pembinaan parkir itu nanti.

Beliau berkata selain tempat parkir, karnival itu turut mahu mengumpul derma bagi pembaikian saliran parit tanah menjadi longkang kalbot.

“Saya difahamkan kos pembinaan parkir ini mencecah RM20,000 manakala menaiktaraf longkang ini kira-kira RM30,000 dan saya mencadangkan untuk membuat permohonan kepada pejabat saya untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

=EZY=


Pengarang :