SELANGOR

Kasih PKNS keperihatinan Kerajaan Negeri, PKNS tingkat ekonomi rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 FEB: Program Kasih PKNS Merakyatkan Ekonomi Selangor memperlihatkan keperihatinan Kerajaan Negeri dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bagi membantu rakyat seterusnya meningkatkan pencapaian ekonomi.

Ahli Perbadanan PKNS, Shamsul Iskandar Md Akin, berkata program itu bukan sahaja menampilkan kewibawaan kepimpinan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Mohamed Azmin Ali dan pengurusan PKNS tetapi juga memberi manfaat kepada rakyat.

“Pada masa sama, pelaksanaannya memperlihatkan wawasan jauh Kerajaan Negeri dan PKNS sendiri dalam menjaga kebajikan dan membantu rakyat memajukan diri dalam keusahawanan.

“Sememangnya menjadi kewajipan Kerajaan Negeri bagi memastikan kebajikan rakyat terjamin,” katanya mewakili Dato’ Menteri Besar dan merasmikan Program Kasih PKNS Merakyatkan Ekonomi Selangor di Kompleks PKNS di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil berkata, program dilaksanakan itu ternyata membantu meningkatkan pendapatan rakyat sekali gus mengukuhkan ekonomi Selangor.

“Ia membawa manfaat dan membuka ruang kepada rakyat meningkatkan keupayaan dalam keusahawanan seterusnya meraih kejayaan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datin Paduka Dr Moraida Mohd Yusof berkata, program itu adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah penjenamaan ‘Kasih PKNS’ yang menjadi platform terbaik dalam melonjakkan agenda keusahawanan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi Selangor.

Katanya, PKNS menganjurkan buat kali kedua ekoran kejayaan pada edisi pertama dengan kali ini menampilkan pelbagai produk ditawarkan usahawan terdiri dari golongan asnaf, ibu tunggal dan belia bawah 40 tahun melalui lebih 80 tapak jualan di kompleks itu dan SACC Mall bermula 14 hingga 25 Februari ini.

“Objektif utamanya adalah menggabungkan usahawan di bawah seliaan Bahagian Pembangunan Usahawan PKNS, Hijrah Selangor dan Teraju Ekonomi Asnaf (TERAS) bagi meningkatkan kebolehupayaan untuk berdaya saing dan merasai suasana perniagaan di kompeks ini dengan jumlah pelanggan ramai.

“Usaha untuk memupuk nilai murni dan meraikan ukhwah antara PKNS dengan masyarakat ini menjadi salah satu cara kita ‘to give back ti the community’.

“Di samping bantuan dan sumbangan dalam bentuk kewangan diberikan, lebih penting ialah menyediakan buat golongan memerlukan ini platform bagi meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

=EZY=


Pengarang :