dav
SELANGOR

KDEBWM ambil alih pembersihan awam MDKL pada Mac

OLEH SHEEDA FATHIL

SUNGAI BULOH, 10 FEB: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) bakal mengambil alih kerja pembersihan awam di kawasan pentadbiran Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), awal Mac ini.

Pengurus Besarnya, Ramli Mohd Tahir berkata, pihaknya kini sedang menunggu MDKL untuk melengkapkan prosedur pengambil alihan secara rasmi.

“Kita akan menyediakan lori Roll On Roll Off (RORO) bagi memastikan sampah pukal dapat diangkut dan dibuang, pada setiap hari.

“Kontraktor di setiap kawasan akan memastikan persekitaran sentiasa terjaga dan bersih mengikut masa ditetapkan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kunci Lori RORO kepada 10 penerima di Kilang Green Concerns Sdn Bhd, di sini, semalam.

Pada masa sama, katanya, 10 lori RORO berkenaan akan diserahkan kepada kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Ramli berkata, pihaknya kini sudah mengambil alih 100 peratus kerja pembersihan di kawasan MPK, bermula awal tahun ini.

Sementara itu, katanya, pada tahun ini pihaknya sedang dalam perbincangan untuk mengambil alih beberapa lagi PBT, di negeri ini.

“Selepas ini, kami akan mengambil alih lebih banyak PBT antaranya Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ),” katanya.

Pada Julai 2016, KDEBWM mula menggalas tanggungjawab mengambil alih pengurusan sisa pepejal di MPK dan berjaya mengurangkan aduan daripada 800 sehingga tujuh, pada Jun lalu.

Pada 1 Mac 2017, KDEBWM mula mengambil alih pembersihan awam di MPK secara berperingkat dan sehingga kini bertanggungjawab sepenuhnya, di Klang.

Pada masa sama, KDEBWM diberi tanggungjawab mengambil alih pengurusan sisa pepejal di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

 


Pengarang :