SELANGOR

KDEBWM berjaya stabil, tingkat kualiti kebersihan di MPAJ

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 24 FEB: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) berjaya menstabilkan operasi kutipan sampah dan pembersihan awam dalam tempoh singkat dan prestasi baik itu diharapkan mampu terus dipertingkat.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Abd Hamid Hussain, berkata anak syarikat Kerajaan Negeri bekerjasama rapat dengan pihaknya dalam memastikan kawasan Ampang Jaya bersih dan harmoni dengan tindakan efisien juga bertindak pantas menyelesaikan aduan diterima tanpa mengira waktu.

“Statistik aduan dari semasa ke semasa semakin menurun dan diuruskan atau diselesaikan dalam tempoh 24 jam.

“Sehingga kini statistik keseluruhan diterima MPAJ mengenai kutipan sisa pepejal domestik dan pembersihan awam bagi tahun lalu adalah 1.178 dan dari jumlah itu 1,138 dapat diselesaikan dan 40 lagi dalam peringkat penyelesaian.

“Bagi tahun ini sehingga Januari lalu, 70 aduan diterima dan telah diselesaikan,” katanya dalam Majlis Menandatagani Perjanjian Perkhidmatan Pengurusan Pembersihan Awam di antara MPAJ dan KDEBWM di sini, semalam.

KDEBWM memulakan perkhidmatan di MPAJ bagi kerja kutipan sampah domestik mulai 1 Mac tahun lalu dan bagi pemberihan awam (1 Disember tahun lalu).

MPAJ adalah PBT kedua bersama Majlis Perbandaran Selayang mendapatkan perkhidmatan KDEBWM dilantik Kerajaan Negeri sebagai Syarikat Pengurusdan Projek (PMC) selepas kejayaan projek perintis di Majlis Perbandaran Klang pada 1 Julai 2016.

Beliau berkata, perjanjian tujuh tahun bersama KDEBWM itu bakal membawa MPAJ kle satu era baru di dalam pemngurusan sisa pepejal domestik di mana anak syarikat Kerajaan Negeri itu telah menjanjikan satu pembaharuan dan modus operandi di dalam operasi khususnya pengguaan lori kompaktor baru dilengkapi pelbagai gajet dan sistem canggih digunakan semua sub-kontraktor.

“Diharap kedua-dua pihak dapat terus bekerjasama sebagai satu pasukan bagi memastikan mutu perkhidmatan kutipan sisa pepejal di MPAJ sentiasa pada tahap terbaik dan seterusnya memastikan seluruh Ampang Jaya akan sentiasa bersih dan sihat,” katanya.

Dalam majlis itu, KDEBWM memperkenalkan kenderaan Armroll baru dengan tong RORO dan jentera Road Sweeper yang julung kali diguna pakai di PBT di Selangor serta menyumbang 500 tong MGL 120L untuk penduduk Ampang Jaya.

Hadir sama, Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Iskandar Abdul Samad mewakili Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembanngunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar Selangor, Raja Shahreen Raja Othman.

=EZY=


Pengarang :