PBTSELANGOR

KDEBWM diharap tingkat tahap kebersihan di MPAJ

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 24 FEB: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) diharap mampu memberikan perkhidmatan terbaik bagi pengurusan pembersihan sampah dan sisa pepejal di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di sini.

Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata pengambilalihan perkhidmatan berkaitan olah anak syarikat Kerajaan Negeri itu daripada MPAJ diyakini akan meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan dan tahap kebersihan di sini.

“Diharap dengan perjanjian termeterai dan pengambilalihan ini, kita dapat memberi perkhidmatan lebih baik,” katanya mewakili Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Pengurusan Pembrrsihan Awam di antara MPAJ dan KDEBWM di sini, semalam.

Sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN) Chempaka yang terletak dalam kawasan MPAJ, beliau berkata, KDEBWM memberikan perkhidmatan baik dan mendapat respon positif daripada pihak awam dengan aduan semakin berkurangan.

“Semoga prestasi ini akan dapat dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa,” katanya.

KDEBWM memulakan operasi perkhidmatan pengurusan sampah dan sisa pepejal di kawasan MPAJ bermula Mac tahun lalu manakala kerja pembersihan awam pada Disember tahun lalu.

Pengurus Besar KDEBWM, Ramli Tahir berkata, pihaknya mengambil pendekatan sama dengan menyediakan perkhidmatan dengan kualiti sama untuk semua pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita akan menyediakan lori kompaktor bagi semua 52 zon yang ada di MPAJ bagi perkhidmatan sampah dan sisa pepejal manakala pembersihan pula, kita sediakan dua jentera baru ‘Road Sweeper’.

“Kita memberikan perkhidmatan dengan kualiti sama untuk semua PBT yang kita ambil alih operasi pengurusan sampah dan pembersihannya,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, KDEBWM kini dalam proses untuk mengambilalih perkhidmatan sama daripada enam PBT lagi di Selangor tahun ini.

KDEBWM memulakan projek perintis di Majlis Perbandaran Klang pada Julai 2016 dan seterusnya diperluaskan ke Majlis Perbandaran Selayang dan MPAJ tahun lalu.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah dan Yang Dipertua MPAJ, Abd Hamid Hussain.

=EZY=


Pengarang :